
Amalan Salah, Boleh Syirik – Peringatan Dan Teguran Ketika Berdoa Di Mekah
Kerajaan Arab Saudi baru saja melonggarkan syarat dan sekatan yang dikenakan di Kota Suci sepanjang pandemik COVID-19 melanda dunia.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga telah mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan telah pun dibuka.
Pastinya ramai yang berebut-rebut untuk mengambil kesempatan ini bagi mengerjakan ibadah umrah dan menjadi tetamu Allah.
Seorang mutawif terkemuka, Shauqi Hasan, menerusi akaun Facebooknya telah membuat dua perkongsian menarik mengenai sikap segelintir umat Islam yang ditemuinya di sana.
Perkongsian beliau ini wajar dijadikan iktibar agar tiada lagi yang terpesong serta mempunyai niat salah ketika menunaikan ibadah umrah dan haji.
Berikut merupakan perkongsian pertama Ustaz Shauqi Hasan:
Contoh yang biasa kita dengar – pergi Mekah sebab nak berdoa biar anak lulus exam, nak mengandung, nak bertemu jodoh dan nak kaya.
Macam mana kalau anak tak lulus?
Sekali tu je la kot makcik pergi Mekah, terus tak nak pergi lagi sebab hasrat tak tercapai. Kerana niat nak pergi tu pun semata-mata nak dapatkan sesuatu.
Kalau anak lulus pulak, maka lepas tu asal ada hajat je pergi Mekah, asal ada hajat pergi Mekah. Dah jadi macam satu kepercayaan keramat pula.
Kalaulah betul Allah hanya tunaikan permintaan sesiapa yang berdoa kat depan Kaabah, bermakna Allah tak adil malah kejam untuk hambaNya yang tak mampu ke sana.
Tapi hakikatnya Allah tak kejam macam tu.
Tak ada yang salah nak ke sana untuk berdoa mengharapkan sesuatu.
Abang sendiri kalau boleh nak pergi selalu. Dan ramai yang kirimkan doa.
Tapi Abang kesian kat orang-orang yang letakkan syarat makbul doa, kena berdoa di Mekah melebihi dari yakin kepada Allah tu sendiri.
Betul, memang ada tempat mustajab berdoa kat Mekah, tapi kalau kat situ je kita beria-ia, balik Malaysia solat tak jaga, doa asal sempat, apalah ertinya.
Kalaulah macam tu punya senang formulanya, dah tentu semua orang Arab jadi manusia paling beruntung dalam dunia.
Paling kaya.
Paling pandai.
Paling banyak anak.
Paling sihat tak ada penyakit langsung.
Paling berjaya.
Depa tak payah buat apa-apa, kerjanya masuk Mekah, berdoa sebab asal minta, dapat.
Tu pasal kalau pi Jabal Rahmah, kat tiang tu bersepah-sepah tulis nama.
Nor dan Junid.
Heryanto dan Dewi.
Ahmad dan Siti.
Dah jadi syirik tanpa sedar.
Sebab percaya kalau berdoa kat atas tu boleh dapat jodoh.
Siap tulis nama sekali.
Lain kali ce tulis sekali nombor henfon mana tau cepat sikit jodoh tu sampai.
Selama jadi mutawwif ke sana dulu.
Abang melihat di Mekah tu sendiri ada tanda-tanda kesyirikan.
Nak dapat jodoh, kena panjat bukit Jabal Rahmah tu untuk berdoa, cium kiswah, simpan cebisan kiswah, berebut-rebut nak solat kat dalam gua Hira’ segalanya ada.
Macam-macam.
Dan salah satunya kesyirikan adalah bila meletakkan keyakinan makbulnya doa pada Kaabah melebihi Allah itu sendiri.
Tu pasal dulu ada viral kejap bisnes servis berdoa depan Kaabah. Konfem makbul katanya.
Sebab apa muncul bisnes-bisnes pelik macam ni?
Sebab kita salah faham the whole concept.
Kita kata orang tu penunggang agama padahal kita pun jadi penunggang agama.
Kita sendiri gunakan agama untuk mencapai keinginan dunia kita.
Kan ke sama je dengan dorang tu semua? Tak ada beza.
Done part one.
Nak sambung part two tak?
Salam Subuh,
Shauqi Hasan
Mutawif Rare RU176
9-20 Mac 2022
(Sambungan) Perkongsian bahagian kedua:
Betul, di Mekah memang ada tempat-tempat mustajab doa, contohnya Multazam (area antara pintu Kaabah dan Hajar Aswad).
Tapi, makbulnya doa tak semata-mata ditentukan oleh faktor tempat.
Banyak faktor, antaranya niat, dosa-pahala, kesolehan kita, serta hubungan kita dengan manusia dan Allah.
Ketenangan, keyakinan, keperluan, kesungguhan dan kerendahan hati sangat mempengaruhi hubungan dalaman dan aliran doa.
Berdoa di mana-mana pun SAMA cuma di tempat mustajab macam ni, selalunya kita jadi bersungguh-sungguh bila berdoa.
Sifat Allah tu sendiri Maha Mendengar dan Maha Melihat. Bermakna, di sudut mana pun kita berdoa, Dia tetap dengar.
Antara tanda kasih sayang Allah pada kita, Dia tak wujudkan barrier untuk kita mohon pada Dia. Doa sentiasa diterima oleh Allah. Antara makbul dengan tak je.
Dan makbul tak makbulnya doa bukan kerana faktor lokasi semata-mata. Kalau tak makbul, boleh jadi doa tu tak membawa kebaikan seperti yang kita sangkakan.
Allah kan Maha Mengetahui.
Contoh, kita nak kahwin dengan si polan.
Lalu kita berdoa depan Kaabah.
Tapi tak ada jodoh jugak akhirnya.
Kerana Allah lebih tau kalau si polan tu tak sesuai untuk kita, nanti Dia pilih untuk kita pasangan yang lain.
Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendakiNya.
Atau Allah memustajabkan doa si polan yang nakkan orang lain, tak nak kat kita.
“Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk” (Al-Baqarah, 186).
Allah kata “Aku dekat”.
Itu adalah komitmen Allah untuk sentiasa dekat dengan hamba-hambaNya, tak kira bila dan di mana pun kita berada.
Tapi, Allah akan lebih mendekat pada kita sekiranya kita beriman dan beramal soleh.
Maksudnya, dekatnya Allah dengan hambaNya adalah dekat yang bukan kosong sebab ia berkait rapat dengan doa dan perbuatan baik kita.
Di mana-mana pun kita berdoa walau depan Kaabah sekalipun, ada doa yang Allah terima di dunia, dan ada juga yang tak dimakbulkan.
Itu hanya Allah saja yang tahu kenapa.
Mungkin disimpan untuk diberikan pada hari akhirat dengan sesuatu yang lebih baik.
Atau doa itu ditukar dengan kebaikan lain seperti diselamatkan kita dari bahaya yang tak terduga.
Tak ada yang salah gabungkan niat untuk dunia dengan niat mencari redha Allah.
Menggabungkan kedua-dua niat adalah sah.
Tapi janganlah sampai kita pulak yang letak barrier makbul tak makbulkan doa tu bergantung pada lokasi.
Done part two.
Adakah akan ada part three?
Salam Subuh,
Shauqi Hasan
Mutawif Rarecation RU176
9-20 Mac 2022
Sumber & kredit foto: Facebook Shauqi Hasan