
Alhamdulillah, Saf Mula Dirapatkan Kembali Di Tanah Suci
Setelah dua tahun pandemik melanda, Arab Saudi akhirnya mula beransur membatalkan kebanyakan sekatan COVID-19 di Tanah Suci.
Menurut laporan BH Online, mulai 5 Mac 2022 yang lalu, kuarantin tidak lagi diwajibkan untuk mereka yang sudah divaksin dan pelawat termasuk umat Islam yang akan menunaikan ibadah suci di negara itu tidak lagi perlu menjalani ujian PCR dan RTK.
Paling menggembirakan dan amat dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia ialah saf solat juga kini mula dirapatkan semula.
Di samping itu juga, dilaporkan kini tiada lagi keperluan untuk memakai pelitup muka kecuali di tempat tertutup.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata penarikan balik sekatan tersebut telah disahkan melalui perbualan beliau dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.
“Nampaknya keadaan akan mula kembali seperti sediakala di sana,” ujar beliau.
Media Arab Saudi turut melaporkan penjarakan fizikal turut ditamatkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Pelawat yang telah divaksin juga kini tidak lagi wajib untuk menunjukkan keputusan negatif hasil ujian PCR atau RTK sebelum tiba di negara berkenaan.
Perkembangan positif tersebut dijangka akan turut membantu mengurangkan kos menunaikan umrah berikutan tiada lagi keperluan untuk menjalani kuarantin serta ujian PCR dan RTK.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu pula berkata, berikutan langkah yang diputuskan oleh Arab Saudi itu, jumlah umat Islam di negara ini yang akan menunaikan umrah serta haji, dijangka akan terus meningkat.
“Kami berharap Kerajaan Arab Saudi akan turut membenarkan pelaksanaan ibadah haji membabitkan umat Islam dari seluruh dunia yang sudah dua tahun tertangguh disebabkan penularan COVID-19”, tambah beliau.
Walau bagaimanapun, PAPUH kini masih lagi menunggu pengumuman Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan umat Islam yang akan berlepas ke Tanah Suci, susulan keputusan baharu Arab Saudi itu.
Sumber & kredit foto: BH Online, Facebook Saudi Press Agency, Facebook المدينة المنورة تاريخ وامجاد