
Alami Cacat Kekal Alat Kelamin, Remaja Peroleh Pampasan RM150 Ribu
Penderitaan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun yang hilang kepala zakar akibat kecuaian semasa proses berkhatan sembilan tahun lalu akhirnya terbela selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan pampasan sebanyak RM150,000.
Peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili remaja berkenaan berkata defendan pertama iaitu pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis bersetuju untuk membayar RM150,000 kepada anak guamnya.
“Jumlah pampasan itu dicadangkan oleh mahkamah ketika kedua-dua pihak berunding untuk menyelesaikan kes dan kami bersetuju dengan jumlah pampasan berkenaan,” katanya selepas hadir pada prosiding kes saman tersebut.
Pada 20 Februari lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan Malaysia, pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor; sebagai defendan kedua hingga keenam untuk membatalkan saman itu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif yang memfailkan saman melalui ibunya pada 19 Julai tahun lalu, mendakwa pada 13 Disember 2010, pada pukul 10 pagi, pembantu perubatan (defendan pertama) bersama dengan seorang pembantu menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua (doktor perubatan) terhadap plaintif.

Ketika kejadian, plaintif berusia 10 tahun dan ia dilakukan di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.
Plaintif mendakwa semasa berkhatan, defendan pertama tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila telah memotong keseluruhan kepala zakar anaknya, yang ketika itu keadaan kulit zakar masih menutupi kepala kemaluan remaja berkenaan selain mendakwa defendan pertama membuat penyambungan semula ke atas kepala alat sulit dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.
Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan dengan segera dan tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit atau glans penis terputus akibat prosedur berkhatan yang tidak mengikut standard, sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.
Plaintif mendakwa anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan untuk menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.
Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan bahawa glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal dengan kemaluannya tidak dapat disambung semula.
Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham dunia seksualiti.
Plaintif juga terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Selayang termasuk perbelanjaan perjalanan dan rundingan dengan peguam yang kesemuanya berjumlah lebih RM100,000.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah dan kos.
Sumber: MalaysiaKini