
‘A’kum’, ‘Aslm’, ‘Salam’, ‘Slamekum’ – Boleh Ke Ucapan Salam Sengaja Dipendekkan Untuk Mesej Dan WhatsApp?
Ucapan dan lafaz salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ atau ‘Assalamualaikum’ sememangnya amat digalakkan di dalam Islam bagi memuliakan dan mendoakan kebaikan seseorang.
Ketika memasuki rumah, bersua dengan orang lain atau hendak memulakan ucapan atau perbualan, memberi salam akan menimbulkan lebih rasa mesra dan disukai orang yang mendengarnya.
Termasuk juga ketika bermesej dan berhubung melalui aplikasi khidmat pesanan dan di platform media sosial mahupun e-dagang.
Persoalannya ialah, ketika bermesej atau menulis pesanan ringkas melalui SMS atau aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, Telegram, WeChat dan sebagainya, ramai di antara kita memendekkan ungkapan tersebut.
Ada yang hanya menulis ‘Salam’, ‘السَّلَامُ’, ‘A’kum’ dan sebagainya.
Adakah lafaz salam pendek seperti ini dikira sebagai salam atau hanya diambil kira sebagai salam jika ianya ditulis dengan lafaz yang penuh sahaja?
Menurut tokoh agama terkemuka, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui laman webnya Maktabah Al-Bakri, secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai isu ini.
Sebahagian ulama tidak membenarkannya seperti yang disebutkan oleh Abu al-Hasan al-‘Adawi dalam hasyiahnya bahawa tidak boleh dengan hanya lafaz “السَّلَامُ” sahaja, sama ada ketika memberi salam ataupun menjawabnya kerana ia adalah ibadah.
Manakala sebahagian ulama yang lain pula, mengharuskan lafaz salam diringkaskan hanya kepada “السَّلَامُ” atau “سَلَامٌ” sama ada ketika memberi salam atau menjawabnya.
Bahkah Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebutkan bahawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi “السَّلَامُ” kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat Baginda menjawabnya dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “عَلَيْكُمْ سَلَامٌ” yang bermaksud “Ke atas kamu kesejahteraan”.
Begitulah juga ketika memberi salam, tidak mengapa, jika seseorang memberi salam dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “سَلَامٌ عَلَيْكُم” yang bermaksud “Salam sejahtera ke atas kamu” atau dengan lafaz “السَّلَامُ” iaitu dengan makna “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ” (Salam sejahtera ke atas kamu).

BACA: Ayam Berkokok Sebab Nampak Malaikat? Ini Jawapan Dr Zulkifli
Kesimpulannya, memendekkan lafaz salam ketika memberi salam dalam penulisan mesej-mesej melalui aplikasi WhatsApp dan seumpamanya adalah diharuskan, dengan syarat lafaz-lafaz salam yang telah dipendekkan (short-form) itu, dapat difahami dengan maksudnya sebagai lafaz salam.
Namun menurut Dr. Zulkifli lagi, yang paling baik (afdhal) dan keluar daripada khilaf, adalah memberi salam atau menulisnya dengan menggunakan lafaz yang sempurna, sekurang-kurangnya dengan lafaz, “Assalamualaikum” atau “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”.
Sumber: Maktabah Al-Bakri