
Akibat COVID-19, China Kuat Kuasa Denda Biadap Bagi Perbaiki Amalan Kebersihan
Dalam usaha memperbaiki amalan kebersihan dalam kalangan orang awam ketika pandemik COVID-19, China menguatkuasakan peraturan baharu bagi melarang perlakuan tidak beradab di sana.
Peraturan baharu yang diluluskan Jumaat lalu untuk mempromosikan ‘tingkah laku lebih beradab’ bagi memerangi pandemik COVID-19 yang sudah menjangkiti lebih 3 juta orang penduduk seluruh dunia.
Tingkah laku tidak beradab itu termasuk tidak memakai penutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin.
Pemerintah perbandaran tempatan dalam laman webnya memberitahu, mereka yang ingkar termasuk tidak memakai penutup hidung dan mulut apabila sakit di tempat awam akan didenda.
Peraturan baharu itu mewajibkan tempat awam meletakkan penanda jarak satu meter dan menyediakan sudu dan penyepit dan orang awam juga harus berpakaian rapi di tempat awam.
Maksud berpakaian rapi itu merujuk kepada budaya ‘Beijing bikini’ yang mana lelaki di sana sering menggulung baju untuk mendedahkan perut mereka ketika cuaca panas.
Peraturan itu meletakkan denda lebih spesifik iaitu denda membuang sampah, meludah dan membuang air di tempat awam dinaikkan kepada maksimum 200 yuan (RM124) berbanding 50 yuan (RM31).
Keadaan di China semakin baik. Cuma orang masih pakai face masks di luar. Semoga Malaysia boleh kembali pulih macam ni. pic.twitter.com/uLRrFXbsh9
— Mag (@magmalaya) April 27, 2020
Dalam pada itu, Beijing sudah melarang pelbagai tingkah laku biadap termasuk meludah, membuang sampah, membawa anjing peliharaan berjalan tanpa ‘dog strap’, membuang barang dari bangunan tinggi, membuang air besar di tempat awam dan merokok di tempat terlarang.
Sementara itu, jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital di Wuhan, China di mana punca pandemik itu terjadi mencatat angka sifar selepas pesakit terakhir dibenarkan pulang pada Jumaat.
Menurut agensi berita Xinhua, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan menurun di bawah angka 50 untuk pertama kalinya di Hubei, iaitu wilayah yang paling teruk dilanda pandemik itu dengan tiada kes baharu dilaporkan selama lebih 20 hari di wilayah berkenaan.
China telah menyaksikan jumlah kematian akibat koronavirus lebih daripada 4,600 orang dengan 3869 di Wuhan dan sedikit kes baharu kini. Ia juga mengesahkan 83,911 kes secara keseluruhan dan sekitar 46,000 kes di Hubei.
Sumber: Asia Times