
Akademi Roti Canai Bakal Diperkenalkan, Netizen Pula Terus Kecam Dan Seronok Jadikannya ‘Bahan’
Buat pertama kalinya di Malaysia, satu akademi khusus akan diperkenalkan bagi mengajar secara formal kemahiran menebar dan menyediakan roti canai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia Dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani telah menyatakan perkara tersebut melalui Facebooknya hujung minggu yang lalu.

Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai akademi seumpama itu dalam tempoh dua bulan lagi.
Ia merupakan kerjasama di antara Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) dan Abang Terbang.
Menurutnya lagi, satu silibus khas akan dirangka untuk dimasukkan ke dalam senarai kursus jangka pendek yang boleh ditawarkan oleh Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) kepada belia.

Maklumbalas dan reaksi yang diterima di media sosial rata-ratanya negatif seolah-olah tiada langsung sinar harapan buat akademi roti canai ini.
“Kerjalah mana-mana kedai mamak untuk dapatkan pengalaman tebar roti canai”, tulis @Folkloreswifty.
Seorang lagi pengguna media sosial @AlawiyahYussof menulis, “Apa benda ini? Apa mata pelajaran yang diajar?”
Ada juga yang membandingkan Malaysia dengan negara maju.
“Negara Jepun perkasakan belia dengan teknologi, buat robot, inovasi baru komputer dan enjin, 3D-4D, inovasi makanan dengan “self-heating bento box.”
“Kita? Belajar tebar roti canai sahaja. Jadilah,” kata @KakTon.
BACA: Mungkin Tak Tahan Kena Sidai, ‘Rider’ foodpanda Turun Padang Tebar Roti Canai
Seorang lagi pengguna Twitter @Nicholas_Gomez menulis, “Di seluruh dunia, orang bercakap tentang DeFi (decentralised finance), Uberisation, crypto, metaverse dan lain-lain. Di Malaysia, kita ada akademi buat roti canai”.

Di Facebook pula seorang pengguna, Nik Lee berkata mungkin silabusnya akan merangkumi sejarah dan jenis roti canai untuk bulan pertama dan seterusnya belajar jenis-jenis minyak dan tepung pada bulan berikutnya.
“Bulan ketiga: Belajar cara uli tepung dan buat roti canai. Bulan keempat: Memahami cabaran pembuat roti canai dan cara untuk mengatasinya. Bulan kelima: Latihan praktikal. Bulan keenam: Etika, adab dan budi pekerti pembuat roti canai. Bulan ketujuh: Graduasi.”
Nurhisyam Mazlan pula berpendapat kursus jangka pendek selama 2 minggu atau sebulan sudah memadai dan tiada keperluan untuk membuka sebuah akademi roti canai semata-mata untuk tujuan itu.
Jelasnya lagi di Facebook, mungkin selepas ini akan lahir akademi untuk nasi lemak dan tom yam pula.
BACA: Harga Makanan Restoran Mamak Dijangka Meningkat Tahun Hadapan
Trending now



