AJ+ Salahkan Malaysia Rohingya

AJ+ Salahkan Malaysia Kerana Tidak Mahu Terima Pelarian Rohingya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Belakangan ini, isu pelarian Rohingya semakin hangat diperkatakan di media sosial sejak selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu sedang dunia berdepan pandemik COVID-19.

BACA: Terkandas Dua Bulan Di Laut, 32 Pelarian Rohingya Mati Kelaparan Atas Bot Ke Malaysia

Bot yang membawa pelarian Rohingya itu membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi. Malah, ada juga khabar mengenai pelarian yang sudah menetap lama di sini tidak bersyukur dan menipu tentang bekalan makanan yang diberikan rakyat tempatan kepada mereka.

Ia kemudian menjadi sentimen anti-Rohingya dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini, hingga mencetuskan polemik dan pelbagai kecaman berbaur kebencian terhadap kaum itu di media sosial.

Keadaan ini sedikit sebanyak mencalarkan imej Malaysia dengan mendakwa kita tidak mahu lagi menolong pelarian dalam keadaan terdesak.

Media antarabangsa, AJPlus yang bernaung di bawah Al-Jazeera mengeluarkan video dan kenyataan mengenai pelarian Rohingya yang terkandas di tengah laut selama dua bulan disebabkan Malaysia tidak mahu menerima mereka.

https://www.facebook.com/ajplusenglish/videos/282208076280205/

Kenyataan tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia kerana seolah-olah menyalahkan sepenuhnya negara ini tidak membantu mereka sedangkan negara-negara Asia Tenggara lain lebih dekat dengan negara peninggalan mereka di Bangladesh dan Myanmar.

Ditambah pula dengan kenyataan Human Right Watch, organisasi yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat mendakwa bahawa Malaysia memberi alasan COVID-19 adalah sebab kita tidak mengambil pelarian ini.

Katanya, COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan dan membiarkan pelarian yang terkandas ini dalam bahaya.

NGO dakwa Malaysia gagal hormati janji

Memetik laporan Benar News, Refuge for the Refugees (RFTR) mendakwa Malaysia gagal menghormati janjinya untuk tidak menahan pendatang semasa wabak COVID-19, apabila beberapa agensi penguatkuasaan keselamatan menangkap ratusan pendatang yang berada di kawasan PKPD di Kuala Lumpur.

“Reputasi Malaysia yang sebelum ini disanjung tinggi di pentas antarabangsa telah menurun disebabkan oleh tindakan pemerintah yang tidak bertanggungjawab dan kegagalan untuk menghormati hak asasi manusia, migran dan pelarian,” kata Human Right Watch.

Malaysia tak iktiraf status pelarian Rohingya

Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan bagaimanapun membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini, atas dasar kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR.

Mengenai tindakan pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan bot membawa etnik Rohingya memasuki kawasan perairan negara, Hamzah menegaskan langkah itu berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

Namun, atas dasar kemanusiaan, pihak berkuasa negara mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot terbabit keluar daripada perairan negara.

Maka, sepatutnya tiada timbul isu Malaysia tidak ambil peduli terhadap nasib pelarian itu. Rata-rata netizen Malaysia tidak berpuas hati dengan video tersebut dan mempertikaikan serta mempersoalkan kredibiliti AJPlus dalam menyampaikan berita.

AJ+ Salahkan Malaysia Rohingya

Selain proses mudah bagi mendapatkan kad UNHCR untuk memasuki di negara ini, ‘keterbukaan’ rakyat tempatan menerima kehadiran mereka juga penyebab Malaysia dipilih destinasi pilihan pelarian.

Hanya kerana Malaysia menyekat bot pelarian Rohingya pada ketika itu, terus dianggap negara ini tidak membantu pelarian sedangkan sudah banyak perkara Malaysia lakukan terhadap nasib pelarian ini.