
Airbnb, Booking.com Antara 112 Syarikat Berkait Dengan Penempatan Haram Israel
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan senarai 112 syarikat yang terbabit dengan aktiviti di penempatan Israel, yang dianggap sebagai haram mengikut perundangan antarabangsa.
Gerakan itu diraikan rakyat Palestin, namun diselar dan didakwa sebagai ‘tindakan memalukan’ oleh Israel kerana bimbang senarai terbabit berupaya mencetuskan gerakan boikot terhadap firma berkait dengan penempatan berkenaan.
Ia adalah dapatan kajian yang dibuat hasil undian resolusi PBB yang didesak empat buah negara pada tahun 2016 iaitu Senegal, New Zealand, Venezuela dan Malaysia.
Antara syarikat yang disenaraikan adalah syarikat gergasi-gergasi dunia travel dan pengembaraan AirBnB, TripAdvisor, Booking.com, Expedia, syarikat telekomunikasi Motorola Solutions dan syarikat makanan General Mills yang antara lain menghasilkan ‘cereal’ jenama Cheerios.

Ketua hak asasi PBB, Michelle Bachelet, berkata beliau sedar isu terbabit akan berterusan menjadi perbalahan hangat, namun penelitian terhadap senarai itu sudah melalui proses saringan ketat dan terperinci.
Katanya, laporan berkenaan mencerminkan betapa serius pertimbangan terhadap mandat yang begitu kompleks dan pertama seumpamanya itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyelar laporan itu.
“Sesiapa yang memboikot kami, akan diboikot,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabat beliau.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, pula menyifatkan penerbitan itu sebagai kejayaan usaha diplomatik dan undang-undang antarabangsa.
Sumber: BH
Trending now



