
AirAsia Tawar Penerbangan Percuma Destinasi Domestik Kepada Petugas Barisan Hadapan HKL
AirAsia Tawar Penerbangan Percuma
Seluruh dunia kini sedang bergantung harap kepada petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus berkhidmat dalam memutuskan rangkaian penularan COVID-19.
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan di tanah air ini, AirAsia menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik terpilih di Semenanjung Malaysia dalam menyokong usaha Ormond Group yang menawarkan penginapan percuma untuk petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata ia sebagai menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan HKL yang telah bekerja keras menjaga kesihatan rakyat Malaysia ketika penularan wabak COVID-19.
“Kesemua mereka merupakan wira dan wirawati negara sepanjang penularan wabak ini, dan kami ingin mengucapkan terima kasih,” kata Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan.
Sementara itu, Ormond Group akan turut menawarkan penginapan satu malam percuma kepada petugas kesihatan yang sama di hotel terkemuka miliknya The Chow Kit-An Ormond Hotel.
Bukan itu sahaja, ia juga akan memberi diskaun 30 peratus kepada semua petugas kesihatan, anggota polis dan tentera yang terlibat dalam usaha memerangi COVID-19 untuk menginap di mana-mana hotel miliknya.
“Kami terhutang budi dengan mereka, ini hanyalah perkara kecil yang kami lakukan sebagai tanda penghargaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ormond Group, Gareth Lim.
Tawaran itu adalah lanjutan sokongan Ormond Group terhadap petugas kesihatan di Tune Hotels PWTC, setelah menempatkan 200 kakitangan HKL ketika situasi COVID-19 melanda sepanjang 45 hari lepas.
Ia merangkumi sejumlah 4531 malam penginapan, ditaja oleh badan amal sekutunya, Yayasan ECM Libra.
Selain AirAsia, syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways juga turut menawarkan 100,000 tiket percuma kepada petugas barisan hadapan di seluruh dunia. Permohonan boleh dibuat secara langsung di laman web Qatar Airways bermula 12 Mei sehingga 18 Mei 2020.
Sumber: Bernama