
AirAsia Tawar Pas Tanpa Had Baharu Untuk Destinasi Domestik
Pas Tanpa Had AirAsia ini boleh ditebus untuk penerbangan ke 16 destinasi menarik di Malaysia.
AirAsia menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa hari ini untuk menjana kembali ekonomi Malaysia.
Sehubungan itu, syarikat penerbangan tambang murah ini melancarkan pas tanpa had baharu untuk destinasi domestik untuk memacu pelancongan domestik Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan.
Pas Tanpa Had AirAsia Cuti-Cuti Malaysia yang ditawarkan dengan harga RM399 bersih, untuk semua Ahli AirAsia BIG di Malaysia di airasia.com/deals atau aplikasi mudah alih AirAsia (di bawah pautan Deals) dari 11 Jun 2020 (1000h GMT + 8) hingga 13 Jun 2020 (2359h GMT + 8).
Pas itu boleh dibeli hari ini dan perjalanan pada bila-bila masa bermula 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021.
Menurut AirAsia, pas ini boleh ditebus untuk penerbangan ke 16 destinasi menarik di Malaysia iaitu Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

“Kami menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik menerusi pengumuman Perintah Pemulihan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan pada awal minggu ini, dengan insentif seperti pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga bulan Disember 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai cara membeli dan merancang perjalanan anda dengan Pas Tanpa Had AirAsia, sila rujuk panduan di sini.
Penerbangan yang ditebus dengan Pas Tanpa Had tertakluk kepada cukai dan yuran kerajaan, perkhidmatan tambahan dan caj-caj lain yang berkenaan. Tempahan penerbangan mestilah dibuat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum waktu perlepasan, serta terdapat tempoh embargo dan terma dan syarat lain yang dikenakan.
Bolehlah anda merancang percutian dengan sebaiknya memandangkan banyak hotel di seluruh Malaysia menawarkan diskaun dan prokosi untuk mengalu-alukan kedatangan pelanggan.
Sumber: AirAsia