AirAsia Lanjut Tempoh Sah Akaun Kredit

AirAsia Beri Dua Pilihan: Lanjut Tempoh Sah Akaun Kredit Sehingga Dua Tahun Atau Tukar Penerbangan Tanpa Had

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

AirAsia Beri Dua Pilihan: Lanjut Tempoh Sah Akaun Kredit Sehingga Dua Tahun Atau Tukar Penerbangan Tanpa Had.

Musim wabak COVID-19 ini menyebabkan ribuan orang terpaksa membatalkan penerbangan mereka, sama ada dari Malaysia ke luar negara atau sebaliknya.

Sehingga kini tiada tanda-tanda vaksin bagi COVID akan ditemui dalam masa terdekat. Sehubungan itu, orang ramai di seluruh dunia tidak digalakkan untuk melancong ke negara-negara yang terkesan teruk dengan wabak ini.

Setelah Malaysia membenarkan sedikit demi sedikit ekonomi dibuka semula, beberapa industri mula menjalankan langkah baharu untuk terus berdiri teguh dalam krisis ekonomi akibat COVID-19.

AirAsia kini mengumumkan untuk melanjutkan tempoh sah akaun kredit sehingga dua tahun, selain memberi pilihan pertukaran penerbangan tanpa had kepada pelanggannya.

Syarikat penerbangan tambang rendah dalam satu kenyataan, berkata pelanggan yang mempunyai tempahan penerbangan sedia ada dibuat pada atau sebelum 17 April 2020 dengan tarikh penerbangan antara 23 Mac 2020 dan 30 Jun 2020 kini boleh membuat dua pilihan.

Pilihan pertama adalah pertukaran tarikh penerbangan tanpa had sebelum 31 Oktober 2020 di laluan dan tanpa bayaran tambahan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Pilihan kedua adalah akaun kredit iaitu nilai tambang tempahan pelanggan kekal ke dalam akaun Ahli AirAsia BIG yang boleh ditebus dalam masa dua tahun bermula dari tarikh yang dikreditkan untuk perjalanan masa akan datang bersama kami.

“Untuk pilihan kedua, tarikh perjalanan boleh dibuat pada bila-bila masa selagi mengikut penerbangan yang telah dikeluarkan di airasia.com,” katanya.

Menurut AirAsia, pelanggan yang layak boleh merujuk kepada Panduan COVID-19 untuk langkah berhubung dengan ruang sembang AVA di support.airasia.com atau airasia.com untuk membuat pilihan dengan segera.

Bagi tetamu yang telah menerima akaun kredit sebelum pengumuman ini juga boleh memohon untuk melanjutkan tempoh sah akaun kredit mereka yang belum digunakan melalui AVA.

AirAsia Lanjut Tempoh Sah Akaun Kredit

Semua maklumat ini terpakai hanya untuk tempahan dalam talian yang dibuat secara langsung dari laman web AirAsia. Untuk tempahan berkumpulan atau tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan, sila rujuk kepada ejen anda untuk bantuan seterusnya.

Syarikat itu berkata, susulan keadaan yang tidak dijangka ini, ia mengalami peningkatan pertanyaan yang maksimum pada masa ini.

AirAsia turut berkata, mereka mempunyai hak untuk mengumumkan sebarang polisi baharu berdasarkan perkembangan terkini berkenaan situasi COVID-19.

Sumber: BH