
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa – “…Antara Filem Terbaik Malaysia Setakat Ini”
Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa telah berjaya mengutip RM8 juta selepas empat hari ditayangkan secara serentak di seluruh pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 25 Ogos yang lalu.
Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Redza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Iman Corrine, Scha Alyahya, Carmen Soo dan lain-lain, filem ini juga dikatakan sebagai “…antara filem terbaik Malaysia setakat ini”.
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa juga khabarnya akan ‘terbang’ menerjah pawagam di Korea, Jepun dan Taiwan tidak lama lagi.
Bersempena dengan Bulan Kemerdekaan, diharapkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan menyokong filem patriotik ini di samping sama-sama dapat memupuk lagi semangat cintakan negara.
Bagi yang ingin membaca ulasan filem ini, wartawan terkemuka, Syahril A. Kadir telah berkongsi ‘review’ ringkas filem ini di laman Facebooknya berikut:
“Air Force The Movie: Selagi Bernyawa”
BERAPAKAH perbelanjaan untuk menghasilkan filem aksi jet pejuang Top Gun: Maverick? Kosnya mencecah RM700 juta!
Jadi apabila saya decide hendak menonton filem “Air Force The Movie: Selagi Bernyawa”, walaupun saya tahu kosnya pasti juga mahal, namun sudah tentu jauh lebih rendah daripada filem lakonan Tom Cruise itu.
Untuk itu saya dah tahu sejauh mana piawaian yang saya perlu set di minda di kala menonton filem berkenaan.
Actually jalan cerita filem ini agak mudah dihadam.
Basically ia mengisahkan tentang Pasukan Khas Udara (Paskau) diketuai Mejar Adnan (Adi Putra) yang terkandas di sebuah wilayah bergolak, Namburi.
Ia selepas pesawat terbesar dalam inventori TUDM, A400M yang dinaiki mereka ditembak pihak musuh ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari wilayah tersebut.
Oleh itu TUDM telah mengarahkan satu misi untuk menyelamatkan anggota Paskau yang diketuai oleh Zafran (Aiman Hakim Redza) yang juga merupakan seorang juruterbang pesawat juang Sukhoi.
Ini review ringkas saya.
Setelah saya tolak beberapa kekurangan di dalam filem berkenaan (yang mungkin agak subjektif sifatnya), saya tidak ragu-ragu mengatakan ia masih antara filem terbaik Malaysia setakat ini kalau berdasarkan genrenya.
Walaupun saya difahamkan proses nak draf dan nak dapat kelulusan TUDM sahaja mencecah 19 kali dan filem ini ambil masa sampai empat tahun untuk disiapkan, ternyata ia akhirnya berbaloi!
Selain tim produksi, dalam hal ini saya salute juga dengan TUDM kerana bersungguh-sungguh memberikan kerjasama hingga filem ini terhasil.
Ia dapat dilihat melalui penonjolan aset-aset utama mereka seperti pesawat superioriti Sukhoi SU-30MKM, pesawat pengangkut Airbus A-400M dan helikopter EC725 dalam filem berkenaan.
Dalam filem ini juga TUDM berjaya memaparkan kisah mereka yang ‘di darat’ seperti pasukan komandonya (PASKAU), pasukan kejuruteraan dan yang lain-lain, tidaklah hanya fokus kepada juruterbang semata-mata.
Cara pengarah filem ini ‘mencipta’ wilayah bernama Namburi juga menarik kerana ia seakan-akan sebuah wilayah yang real sedangkan realitinya ia hanyalah fiksyen atau rekaan semata-mata. Tak pernah ada pun tempat nama Namburi ni kat dunia.
Saya ingat lokasinya di luar negara, rupanya di lapang sasar ATM sendiri dekat Kota Belud, Sabah!
Paling menarik di penghujung filem ini, disertakan sejarah kejayaan TUDM dalam beberapa operasi khas yang tak ramai rakyat tahu dan sedar tentangnya
Dengan segala keterbatasan termasuk bajet yang tak semegah Hollywood, filem ini sebenarnya telah berjaya di mata saya.
Tak heran tak sampai beberapa hari, kutipan tiketnya sudah mencecah RM6 juta!
Saya tak menyesal menonton filem ini apatah lagi menjelang sambutan Merdeka tak lama lagi.
Saya bangga dengan pengarah filem ini, Zulkarnain Azhar dan Frank See serta team produksi dan sudah tentu saya sangat bangga dengan TUDM!
SAK: Sekali perasan nama salah seorang rakan FB saya, Inamul Hasan Shuhaimy Basha dalam one of the scene, owhhhh salah seorang pilot hebat TUDM rupanya Tuan ye. Al-Fatihah buat sahabat saya, Lef. Kol (B) Fajim Juffa, bekas juruterbang jet pejuang MiG-29 TUDM yang meninggal dunia setelah pesawatnya terhempas di Perak baru-baru ini.
#AirForceTheMovie
#selagiBernyawa
#SentiasaDiAngkasaRaya
BACA: Gadis Jolobu vs ZHAFVLOG: Peguam Kongsi Pandangan Mengenai Kes Saman
Sumber: Syahril A. Kadir