Ahmad Idham CEO FINAS

Ahmad Idham Kembali Pegang Jawatan CEO FINAS

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan semula pengarah dan pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS berkuat kuasa 5 Jun 2020 sehingga 6 Jun 2022, setelah hampir tiga bulan melepaskan jawatan tersebut.

FINAS menerusi kenyataan media mengesahkan perlantikan semula Ahmad Idham sebagai CEO baharu. Sebelum ini, kerusi yang ditinggalkan Ahmad Idham masih belum terisi hingga beliau dilantik semula.

Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid dalam kenyataannya pada Jumaat, berharap dengan pelantikan Ahmad Idham, FINAS akan terus menjana kecemerlangan sebagai sebuah badan yang menggalak, memelihara dan memajukan industri perfileman tanah air.

Ahmad Idham dikritik
Sumber: MSN

Ahmad Idham berkata, dia bersyukur atas perlantikan dan kepercayaan yang diberikan.

“Alhamdulillah, atas perlantikan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan ahli perbadanan FINAS.

“Saya akan meneruskan perjuangan ini. Insya-Allah, saya akan melaksanakan tugas yang terbaik demi pembangunan industri kreatif yang disayangi ini.

Beliau memberitahu, sudah melakukan persiapan untuk menghadapi cabaran baharu dan akan bekerja keras untuk membangkitkan semula sektor ekonomi industri kreatif.

Terdahulu, Ahmad Idham dilantik memegang jawatan ini bagi tempoh dua tahun berkuakuasa 11 Mac 2019 dan akan berakhir pada 10 Mei 2021.

Beliau bagaimanapun melakukan kejutan apabila memohon untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu atas alasan peribadi.

BACA: Ahmad Idham Bakal Direhatkan Sebagai CEO FINAS?

BACA: PFM Sokong Tetapi Peminat Filem Kritik Pelantikan Ahmad Idham

Dalam perkembangan berkaitan, FINAS merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang terjejas berikutan wabak COVID-19 dengan menyediakan insentif dan dana.

Sehubungan itu, FINAS menyambut baik atas peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri ini melalui pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber: BH