page

Ahli Keluarga Tahanan Israel Yang Larikan Diri Dari Penjara Dakwa Adiknya Dipukul Hingga Masuk ICU

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Minggu lalu, media melaporkan enam orang tahanan warga Palestin berjaya meloloskan diri dari penjara paling ketat di Israel menerusi lubang yang digali di tandas menggunakan sudu.

BACA: Bak ‘Prison Break’, Enam Warga Palestin Berjaya Bolos Dari Penjara Paling Ketat Israel

Kehilangan keenam-enam tahanan terbabit hanya disedari pegawai penjara kira-kira tiga jam selepas mereka bertindak meloloskan diri.

Itupun, selepas orang awam ternampak keadaan yang mencurigakan di luar penjara Gilboa.

Sabtu (11 September) lalu, media The Times of Israel melaporkan empat daripadanya sudah ditahan selepas lima hari melarikan diri hasil daripada laporan orang awam berdasarkan barangan yang dibuang serta kesan tapak kaki mereka.

Zakaria Zubeidi, Mohammed Aradeh
Sumber: Times of Israel

Selepas daripada penangkapan tersebut, muncul satu dakwaan bahawa salah seorang tahanan, Zakaria Zubeidi, pemimpin Briged Al-Aqsa telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Israel selepas cedera dipukul.

Menerusi satu hantaran yang dibuat abang beliau, Zakaria dikatakan berada dalam kondisi serius kerana diseksa dengan menggunakan elektrik, dipatahkan kakinya dan dihalang daripada tidur.

Tahanan Israel Yang Larikan Diri Berjaya Ditangkap Didakwa Dipukul Hingga Masuk ICU 2
Sumber: JPost

Peguam bela beliau, Avigdor Feldman sebelum itu meminta mahkamah untuk mereka mendapatkan rawatan di hospital mendakwa pihak tentera Israel telah menyembunyikan muka Zakaria daripada dirakam kamera semasa sesi pendakwaan untuk menyembunyikan kecederaan yang dialami beliau.

Namun pihak tentera Israel menafikan dakwaan berkenaan dan menekankan bahawa Zakaria dalam keadaan yang baik dan tidak dimasukkan ke dalam hospital.

Difahamkan lima daripada tahanan tersebut diperjarakan seumur hidup kerana didakwa terlibat dalam serangan ke atas rakyat Yahudi. Manakala Zakarian ditangkap atas dakwaan melakukan keganasan di sebuah kampung di Tebing Barat pada tahun 2019.

Menurut pihak berkuasa Israel, tidak diketahui bagaimana lubang yang hanya memuat seorang lelaki dewasa berjaya digali menggunakan sudu kerana perkakas yang diperbuat daripada logam tidak dibenarkan dibawa masuk dalam penjara.

Sebelum ini, tanda #VisitIsrael menjadi trending di media sosial susulan kempen memboikot keganasan yang dilakukan Israel.

Baca lanjut di Rakyat Malaysia Mula Lancar Perang ‘Reverse Psychology’, #VisitIsrael Jadi Trending