Ahli Arkeologi Temui Kapal Van Der Wijck

Ahli Arkeologi Dakwa Temui Lokasi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck Selepas 85 Tahun

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mendengar nama Van Der Wijck, fikiran kita biasanya tertuju pada kisah fiksyen dalam novel terkenal Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Buya Hamka.

Namun, kisah tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu bukanlah fiksyen kerana ia memang benar-benar terjadi seperti yang dapat dilihat menerusi monumen yang terletak di daerah Kecamatan Brondong, Lamongan.

Monumen itu dibangun oleh pihak Belanda untuk mengenang kisah tenggelamnya kapal itu di perairan Lamongan pada tahun 1936.

Monumen itu juga mengandungi ucapan terima kasih dari pihak Negara Belanda kepada warga Lamongan yang pada saat musibah itu terjadi telah memberikan bantuan dalam berbagai bentuk dan usaha.

Ahli Arkeologi Temui Kapal Van Der Wijck

Namun baru-baru ini, ahli arkeologi Badan Pelestarian Cagar Budaya (BPCB) Jawa Timur, mendakwa telah menemui lokasi kapal karam selama 85 tahun itu di sekitar perairan Brondong Lamongan.

CNN Indonesia melaporkan, Wicaksono Dwi Nugroho dalam pembentangannya di ruangan Command Center Pemerintah Daerah Lamongan berkata, penemuan itu masih terus dikaji untuk mencari bukti konkrit berdasarkan sains.

Difahamkan, Wicaksono dan pasukannya telah melakukan tinjauan di lokasi penenggelaman kapal itu sejak bulan Jun 2021, tetapi disebabkan perairan Lamongan yang keruh, tinjauan masih dilakukan sehingga bulan Oktober ini.

“Memang ada kapal karam dan kami mengesyaki Van Der Wijck, dari gambar dan video yang kami dapat. Namun, prosesnya masih berjalan. Jadi, kami terus memadankan beberapa bahagian dengan gambar kapal Van Der Wijck,” katanya.

Ketika ini pihak BPCB memasuki tahap pengesahan, apakah benar kapal karam yang ditemukan nelayan tempatan adalah bangkai kapal Van Der Wijck.

Ujarnya, jika benar kapal karam adalah Kapal Van Der Wijck, ia boleh menjadi salah satu ikon dunia yang mesti dipelihara.

Masyarakat tempatan dikatakan tidak berani untuk menjarah lokasi itu kerana ia dianggap suci.

Beberapa barang berharga yang terdapat di kawasan peninggalan itu dapat ‘menceritakan’ mengenai apa yang terjadi pada tahun 1936.

“Itu adalah sebahagian dari sejarah yang tidak dimiliki oleh daerah lain,” kata Wicaksono.

Ahli Arkeologi Temui Kapal Van Der Wijck
Sumber: Wreck Site

Menurut Wikipedia, kapal Van Der Wijck merupakan sebuah kapal mewah pada 1921 yang karam di Laut Jawa, telah mengakibatkan 4 korban nyawa dan 49 orang hilang ditelan ombak laut. Ada versi lain dicatatkan 58 orang yang meninggal.

Kapal itu diberi nama Van Der Wijck sempena nama Gabenor Jeneral Hindia Belanda, Carel Herman Aart van der Wijck yang diangkat Ratu Emma van Waldeck-Pymont pada tanggal 15 Jun 1893.

BACA: Mary Celeste: Misteri Kehilangan Semua Anak Kapal Yang Masih Belum Terungkai Sehingga Hari Ini

Sumber: CNN Indonesia