
‘Agenda Sesat Makin Berleluasa’ – Ibu Bapa Diseru Pantau Tontonan Anak-Anak
Berbeza dengan orang dewasa, anak-anak masih tidak mampu untuk menilai baik dan buruk tanpa didikan dan pantauan daripada orang dewasa.
Menonton video antara aktiviti kanak-kanak yang paling aktif di Internet terutama bagi mereka yang berumur 10 tahun ke bawah atau masih tidak mendengar arahan ibu bapa dengan jelas.
Justeru, ibu bapa dan penjaga seharusnya memantau sebarang kandungan bahan tontonan anak jagaan.
Tular perkongsian baru-baru ini di Facebook mengenai satu siri animasi berjudul Jurrasic Park: Camp Cretaceous yang dikhabarkan tidak sesuai untuk dijadikan bahan tontonan kanak-kanak.
Menurut seorang pengguna Facebook bernama Karina Vailes, dia terkejut dengan pengisian filem animasi tersebut memaparkan babak yang tidak seharusnya ada terutamanya bahan tontonan anak.
“Saya terkejut apabila salah satu watak wanita animasi itu, Yaz mula mengakui perasaannya terhadap seorang gadis lain, Sammy.
“Kenapa saluran televisyen terbabit tidak menukar filem animasi itu kepada bahagian kandungan matang. Saya kecewa dengan semua rancangan moden yang mendorong idea homoseksual kepada kanak-kanak,” jelasnya.
Lebih merisaukan, fikiran anak-anak masih terbentuk dan tidak memerlukan rancangan seperti itu untuk memberitahu keadaan dunia ketika ini.
Katanya, menonton rancangan di saluran tersebut adalah untuk dihiburkan bukan untuk diserang dengan idea atau agenda politik yang tidak sepatutnya.
“Rupa-rupanya filem animasi itu berkisar tentang hubungan cinta lesbian dan saya dimaklumkan bahawa mereka menjadi ‘agak fizikal’ dalam salah satu episod.
“Saya kini telah menyekat rancangan itu daripada profil kanak-kanak. Tetapi, saya masih ada benda yang ingin dipersoalkan, siapa yang mengaut keuntungan daripada ini? Dan berapa banyak?” ujarnya lagi.
Dengan perkembangan teknologi masa kini, amatlah membimbangkan dengan kandungan yang diperbuat daripada dunia barat yang tidak ditapis seperti di atas.
Sebagai ibu bapa dan penjaga, haruslah bijak dan mengawasi kandungan yang mereka tonton.