
Adik-Beradik Buat Kerja Amal Kutip Pelitup Muka Yang Dibuang Merata Elak Penularan Virus
Kutip Pelitup Muka Yang Dibuang Merata Elak Penularan Virus
Sudah menjadi amalan kepada kita semua untuk memakai pelitup muka ketika keluar rumah, sebagai salah satu usaha untuk menghalang sebarang jangkitan atau simptom COVID-19 merebak terkena kepada orang lain.
Namun, di sebalik tanggungjawab pemakaian ini, ada segelintir orang awam didapati alpa dan tiada kesedaran sivik. Menjaga diri daripada terkena atau tersebar jangkitan itu sememangya bagus tetapi masalah lain pula timbul apabila bersikap lepas tangan.
Seorang pengguna Facebook, Vasugi Ramasamy berkongsi pengalamannya berdepan isu sikap tidak bertanggungjawab oleh mereka yang tiada kesedaran sivik.

Setiap hari ulang-alik kerja nampak pelitup muka merata tepi jalan
Vasugi Ramasamy yang bekerja di Econsave Parit Buntar, melihat pelitup muka dibuang merata setiap hari. Justeru, dia dan adiknya, Suriya Kuppusamy telah membuat kerja amal mengutip pelitup muka yang dibuang merata-rata itu.
Mereka menjalankan misi itu kerana berasa terpanggil untuk mengelakkan berlaku penularan bakteria dan virus lebih-lebih lagi ketika pandemik ini.
Katanya, ia bukan sahaja boleh membahayakan warga emas yang berisiko tinggi mengalami jangkitan, bahkan kanak-kanak kerana sistem imunisasi badan yang rendah berbanding orang dewasa.
Pada akhir perkongsiannya, Vasugi berpesan meminta orang ramai agar tidak sesuka hati membuang pelitup muka yang sudah digunakan kerana boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
“Di sini saya ingin menyampaikan satu pesanan kepada semua rakyat kita supaya janganlah buang topeng muka (FACE MASK) dimerata,itu akan menambahkan risiko.”
Hantarannya itu mendapat perhatian netizen dengan mengucapkan terima kasih kepada dua adik-beradik ini kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan semasa.
Masalah pembuangan pelitup muka bukan sahaja ada di Malaysia, malah di seluruh dunia. Kumpulan pencinta alam sekitar menegaskan, pelitup muka memburukkan lagi masalah sampah yang hanyut di laut dan serata tempat lain, malah mencetuskan kebimbangan mengenai penyebaran kuman.
Tidak sukar pun untuk membuang pelitup muka selepas dipakai. Hanya buka pelitup, ambil, lipat dua dan gulung. Gulungkan perlahan-perlahan dan proses ini tak ambil masa lebih 20 saat.
Selepas itu, ikat gulungan tadi dan buang di mana-mana tong sampah yang disediakan.
BACA: Ramai Individu Berpengaruh Pakai, Rupanya Pelitup Muka Jenis Ini Tak Sesuai Untuk Cegah COVID-19