
Adakah Wajib Samak Atau Sertu Barang Terpakai Yang Dibeli Dari Bukan Muslim?
Peralatan atau barangan terpakai yang biasanya dibeli dari golongan bukan Muslim sudah tentu diragui kesuciannya kerana dikhuatiri pernah tercemar dengan najis arak dan babi.
Islam mengajar umatnya untuk menggunakan asas pembersihan yang disarankan iaitu dengan basuhan air tanah bagi menyucikan najis tersebut.
Tular di media sosial video mengenai perkhidmatan penyucian peralatan elektrik dengan cara samak atau sertu ini yang menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Adakah penyucian peralatan elektrik terpakai seperti ini benar-benar perlu?
Menurut kolum AD-DIN yang disiarkan di portal mStar, tindakan penyucian peralatan elektrik dengan cara samak atau sertu tersebut sebenarnya tidak wajar kerana barangan tersebut tidak mempunyai sebarang tanda yang membuktikan ianya tercemar dengan najis.
Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dipetik oleh portal itu juga menyatakan tindakan samak atau sertu barangan yang dibeli dari orang bukan Muslim sebenarnya adalah tidak wajib.
Namun, sunat dibasuh dengan air yang bersih sahaja sebelum menggunakannya dan jika basuhan tersebut boleh merosakkan peralatan tersebut, maka tidak perlu untuk dibasuh untuk mengelakkannya dari rosak.
“Islam menuntut umatnya supaya mengambil berat aspek kebersihan dalam kehidupan. Namun dalam aspek ini juga mestilah berpandukan hukum-hakam yang telah ditetapkan syarak.
“Dalam aspek yang berkaitan ketidakpastian atau ragu-ragu dalam permasalahan najis, maka hendaklah berbalik kepada kaedah hukum asal bagi sesuatu barang itu adalah suci,” jelas laman web tersebut.
Jika seseorang itu syak dan tidak dapat dipastikan sesuatu itu bernajis atau tidak, maka hendaklah ia menghukum sesuatu itu tidak bernajis sehinggalah wujud bukti kenajisan itu.
Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan, maksudnya: hukum asal sesuatu barang itu kekal sepertimana keadaan sebelumnya.
BACA: Samak Atau Tidak? Ini Pendapat Ulama Berkenaan Najis Babi
Sumber: mStar