Hairul Nizam Hashim

Adakah Perlu Tunjuk Kereta Mewah Sebagai Tanda Berjaya Dalam Bisnes?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Memang sudah sebati dalam pemikiran rata-rata rakyat Malaysia, sekiranya bisnes seseorang itu berjaya, maka kayu ukurannya ialah — kereta mewah.

Lebih maju bisnes atau kerjaya seseorang itu, nescaya lebih mewahlah kereta atau kenderaannya. Betul tak? Memang mentaliti rakyat Malaysia pun dah macam tu.

Sebab itu, tidak hairanlah ‘sifu-sifu’ bisnes pun memang gemar membuat hantaran foto bersama status kemewahan mereka seperti Lamborghini, Ferrari, Mustang, McLaren, Maserati, Alphard dan Vellfire semua tu.

Sejauh mana kebenaran ukuran kemewahan ini? Kalau bisnes berjaya juta-juta, tapi rasa nak bawa Myvi je tak boleh ke? Orang tak pandang ke? Kalau Civic, okey tak?

BACA: “Dia Datang Naik Myvi Je” – Pengajaran Dari Sebuah Kisah ‘Reunion’ Sekolah Dengan ‘Plot Twist’ Yang Tidak Dijangka

Seorang usahawan, Hairul Nizam Hashim berkongsi satu kisah menarik mengenai pengalamannya yang pernah terjerumus dengan kegilaan menunjuk-nunjuk status ini sehingga beliau jatuh muflis.

Kisahnya yang dikongsi di Facebook ini penuh dengan keinsafan dan wajar dijadikan iktibar untuk orang ramai terutama sekali mereka yang berada di dalam dunia bisnes.

Hairul Nizam Hashim

Saya tak pasti mana cikgu yang ajar jika nak tunjuk ke orang bisnes kita berjaya, kena pakai Alphard, pakai Vellfire. Saya 12 tahun dulu pun terjebak juga. Sampai sekarang ajaran sesat ni masih berleluasa.

Nak kata pakai Alphard anak ramai, nak selesa, pakai kereta lain pun selesa juga. Memang nak show off ke orang sebenarnya. Orang kita pun still sanjung mereka yang show off kereta ni. Konon ini orang yang berjaya dalam bisnes. Sampaikan kereta mewah sewa pun terpedaya juga.

Ni cerita saya pakai Alphard tahun 2010. Modified habis RM30k sebab nak nampak grand punya pasal. Masa ni saya owner company MLM memang kena show off. Sales memang berjuta sebulan tapi kesan dia saya tanggung sampai sekarang. Saya bankruptcy sebab Alphard.

Lepas company tutup, saya bawa Alphard pergi niaga Uptown. Saya sewakan ke orang. Saya bawa orang pergi airport. Saya sewa jadi kereta pengantin. Semua sebab nak bayar ansuran bank RM2700 sebulan. Last-last saya surrender. Saya jual sambung bayar. Ada agreement semua mereka janji nak sambung bayar ke bank. Duit dapat dalam RM10k saya beli van Rusa buruk. Ya, dari Alphard jadi Rusa van.

Company sambung bayar mula-mula kata kereta tu boss dia nak pakai. Tapi dia jadikan hadiah skim MLM dia. Kira macam car reward. Ada satu Dato’ di Kelantan dapat. Start dari tu dah tak bayar sebab owner dapat hadiahkan, kenapa nak bayar ke bank? Lepas tu Dato’ tu meninggal pula. Waris apa pun tak tahu sampai Alphard kena tarik.

Hutang ada RM100k lagi lepas kereta kena lelong. Ya lah beza loan kena top up. Bank mana nak rugi. Memang bank failkan bankruptcylah. Sampai sekarang menanggung azab bayar bulan-bulan ke insolvensi.

So, seronok ke pakai kereta mewah? Seronok sekejap je azabnya lama. Belum masuk maintenance yang mahal.

Sekarang ni lebih mampu dari dulu kalau nak pakai Alphard atau kereta mewah lain. Tapi takkan ulangi kesilapan lama. Pakai je Xpander baru bayar cash tak ada hutang. Selesa pun sama, minyak jimat. Hutang tak ada.

Orang kata bisnes aku tak berjaya sebab tak ada kereta mewah? Lantak kau oranglah aku peduli apa. Yang tanggung azab nanti aku bukan kau orang.

Update sikit buat yang kecam saya kenapa sales berjuta tak beli Alphard cash. Sales berjuta tu sales company bukan masuk poket saya. Kami as director makan gaji juga. Ambik Alphard sebab ingat langit sentiasa cerah. Mana nak tahu hujan di tengah jalan hingga putus income.

Dugaan saya putus income kereta struggle nak bayar. Setahun juga lepas company tutup buat macam-macam nak tanggung kereta. Akhirnya tak sanggup dan let go.

Ada orang dugaan putus income. Ada orang dugaan kesihatan tak boleh kerja. Lain orang, lain dugaan. Beringat saja bila nak pakai kereta mewah. Fikir banyak kali.

Yang berjaya tanggung kereta mewah tahniahlah. Saya wakil orang yang tak berjaya. Janganlah marah bila saya tak berjaya macam kau orang..

Post ni bukan nak kecam orang pakai Alphard. Saya cerita pengalaman saya gagal pakai Alphard. Kalau time tu pakai Mustang, saya cerita Mustanglah. Dah nak kena dengan Alphard nak buat macam mana..

Sumber & kredit foto: Facebook Hairul Nizam Hashim