
“…Ada Satu Perkara Pelik…” – Juruterbang Nahas Helikopter Kongsi Pengalaman Cemas
“Semasa dalam perjalanan pulang dari Gua Musang kami menggunakan laluan biasa namun cuaca hujan di kawasan Kampung Raja (Cameron Highlands) menyebabkan saya terpaksa beralih ke kawasan yang tidak hujan sebelum ke Brinchang, di mana terdapat lokasi yang membenarkan laluan helikopter.
“Apabila saya melalui kawasan itu, ada satu perkara pelik… angin menolak helikopter ke atas dan rasa ada yang tidak kena serta (saya) cuba mengawalnya sebaik mungkin tetapi saya tidak memberitahu penumpang bagi mengelakkan mereka panik.”
Demikian penjelasan Kapten Fedzrol Norazam, 43, ketika ditemui media bagi menceritakan detik cemas mendaratkan helikopter yang dinaiki lima penumpang yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan hutan Brinchang dekat Tanah Rata, Cameron Highlands semalam.
“Saya cuba kawal helikopter, tetapi ia semakin sukar. Ia (angin) menolak helikopter ke atas sedangkan saya mahu mendarat,” tambah Kapten Fedzrol.
Menurutnya lagi, angin tersebut ‘menolak’ helikopter ke arah satu bukit yang ketinggiannya sama dengan altitud pesawat ringan ketika itu iaitu 1,524 meter.
“Saya tidak dapat mengawal helikopter, hendak ke kanan, ke kiri, bawah dan atas tak boleh. Saya terpaksa menggunakan 100 peratus kekuatan enjin, tetapi keadaan masih tidak stabil.
“Helikopter semakin menghampiri bukit menyebabkan saya terpaksa ambil keputusan membuat pendaratan kecemasan. Saya guna teknik mendaratkan ekor helikopter terlebih dahulu bagi melindungi kabin,” jelasnya lagi.
“Apabila terhempas, saya tidak sedarkan diri selama beberapa minit dan sebaik sedar, saya terdengar suara mereka memanggil saya dan mendapati semua penumpang telah berjaya keluar menyelamatkan diri, manakala saya masih di tempat duduk dengan memakai tali pinggang keledar dan tangan masih memegang ‘handle’,” ujar Fedzrol yang mengalami pendarahan pada bahagian kepala.
“Paling penting saya rasa bersyukur kerana semua selamat, saya minta maaf kerana ini semua terjadi, mungkin ada juga sebahagiannya kesilapan saya, namun mungkin ini sudah ketentuan Tuhan,” katanya yang berjaya menyelamatkan semua nyawa dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1.15 tengah hari itu.
BACA: 2 Helikopter Bertembung Ketika Ujian Penerbangan Sebelum 1 Daripadanya Terhempas Di Ampang
Sumber: Malaysiakini, Berita Harian, KOSMO! ONLINE
Trending now



