AC Mizal SUKE TV

AC Mizal: Dari ‘4U2C’ Hingga Ke ‘SUKE TV’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Usahawan yang juga seorang personaliti berbakat sebagai pengacara, pelakon, pelawak dan penerbit – Dato’ Mizal Zaini atau lebih dikenali dengan nama AC Mizal kini telah melebarkan sayapnya dengan menjadi seorang pemilik stesen televisyen – SUKE TV.

Memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi hip hop dalam kumpulan 4U2C di awal era 90-an, nama AC Mizal turut popular dengan perniagaan direct-selling ‘gelang ajaib’ yang penuh kontroversi.

“Sekurang-kurangnya, orang yang mengkritik itu tahu dan sedar, saya yang dulu jual gelang dan pakai CD di leher ni sudah memiliki stesen TV (televisyen),” jelas AC Mizal kepada wartawan Malaysiakini pada satu majlis menandatangani perjanjian memorandum bersama platform penstriman, iQIYI di Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, sebelum ini terdapat segelintir pihak yang memandang rendah pada usaha dia bersama isterinya, Emylia Rosnaida, untuk menubuhkan sebuah stesen penyiaran.

AC Mizal SUKE TV

“Jika nak diikutkan, macam-macam saya kena (kecam). Memanglah, mana boleh lupa sejarah kita. Alhamdulillah, sekurang-kurang orang ingat pada saya,” sambungnya lagi.

“Ada pihak mengutuk dan berkata: jangan beranganlah artis nak ada stesen TV. Ketika tu mereka sebenarnya tak tahu saya dah ada lesen,” katanya yang kini telah pun berjaya berkolaborasi untuk menyiarkan program-program SUKE TV di platform iQIYI untuk penonton Malaysia dan Singapura.

Sejak zaman 4U2C berlalu, bermulanya era ‘gelang ajaib’ sehinggalah tertubuhnya stesen SUKE TV, AC Mizal tidak menafikan dirinya kini sudah berjaya dalam dunia perniagaan dan kini bergelar seorang jutawan.

“Kalau saya cakap tak, agak kelakar. Sebab pekerja saya saja sudah ada 80 orang.

“Studio berada di tingkat bawah, peralatan yang digunakan menelan belanja berjuta-juta. Saya memang belum merasa berjuta (pendapatan), tapi belanja dah berjuta-juta.

“Untuk memperbaharui lesen milikan saluran TV secara tahunan saja sudah RM50,000 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Saya dah memiliki lesen tersebut selama lima tahun sebelum saya mula. Jadi untuk keseluruhan, jumlah adalah RM250,000.

“Jalan tak jalan perniagaan, tetap kena bayar, sakit hati juga di situ,” ujarnya bergurau.

AC Mizal yang kini berusia 50 tahun turut menceritakan kisahnya yang telah mencuba pelbagai jenis bisnes namun akhirnya bertekad dan berlapang dada untuk menubuhkan sebuah stesen TV.

BACA: Banyak Yang Hanya Merosakkan Minda, Program TV Tempatan Sekarang Dah Tak Macam Dulu-Dulu

Sumber: Malaysiakini