
‘Abang Viva’ Selesai Jalani Kursus Asas Pertahanan Awam, Tampil Lebih Yakin Bantu Mangsa Bencana
Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ mula dikenali ramai selepas kisahnya yang bergerak solo dari Melaka menaiki kereta Viva dengan membawa bot untuk misi membantu mangsa banjir pada Disember lepas.
Kisahnya itu dikatakan menjadi inspirasi buat orang ramai apabila dilaporkan beliau hanya berbekalkan wang tunai sebanyak RM50 iaitu RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta manakala RM30 lagi bagi membeli makanan buat mengalas perut.
Malah ketika ingin melakukan misi bantuan di Selangor, Azwan sanggup mengambil cuti kecemasan daripada majikannya semata-mata mahu bantu menyelamatkan mangsa.
Bantuan yang diberikan olehnya telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menerusi pemberian sijil penghargaan.
Abang Viva jalani kursus Asas Pertahanan Awam
Sifat terpuji beliau tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini Azwan selesai selesai menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam selama tiga hari di Ayer Keroh.
Azwan berasa lebih yakin untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa bencana terutamanya melibatkan banjir, jika terlibat dengan kerja-kerja kesukarelaan pada masa akan datang.
Katanya, kemahiran asas seperti bantuan pernafasan (CPR) dan ikatan amat penting ketika menyertai misi menyelamat, bukan sahaja untuk membantu mangsa tragedi namun kepada diri sendiri apabila berdepan detik cemas.
“Sebelum ini tengok orang pengsan pun saya lari, sekarang insya-Allah saya boleh bantu dengan ilmu yang ada semasa menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam ini.
“Untuk pengalaman pertama kali sertai kursus APM ini, banyak benda baharu saya pelajari. Saya diajar ikatan simpul mati dengan lebih baik, diajar menjadi lebih berdisiplin yang mana pengalaman ini tidak dapat di tempat lain.
“Sebelum ini saya memang tidak tahu apa-apa, pergi misi bantuan banjir pun secara solo tanpa pengalaman semua. Tapi dengan kursus ini stamina kita semakin bertambah,” katanya.
Tambah Azwan, dia tidak menolak sebarang kemungkinan untuk meneruskan khidmat di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah jika berkesempatan selain menguruskan aktiviti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskannya.
Sumber: Utusan
Trending now



