
‘A Family’ : Misi Mencari Diri Seorang Yakuza
A Family, sebuah filem Jepun yang sangat menarik untuk ditonton kerana kisahnya bertemakan perjalanan mencari diri seorang yakuza.
Plot awal bermula pada tahun 1999 memaparkan seorang lelaki, Kenji Yamamoto atau lebih dikenali sebagai Lil Ken (lakonan Go Ayano) yang melakukan jenayah kecil sehingga ditangkap sebuah organisasi yakuza tempatan yang diterajui oleh Shibazaki (lakonan Hiroshi Tachi).
Plot bergerak ke tahun 2005, yang mana Kenji sudah pun bergelar leftenan organisasi Shibazaki. Menghormati Shibazaki yang berperanan sebagai ‘ayah’, Kenji tetap merasa kosong biarpun kehidupan bergelar yakuza memberikan beliau tujuan hidup.
Pada saat perebutan kawasan berlaku, seorang rakan baik Kenji terbunuh. Pada ketika ini Kenji bertemu dengan Yuka (lakonan Machiko Ono) di kelab di bawah jagaan mereka.
Ketegangan semakin memuncak apabila polis dan undang-undang mahukan organisasi yakuza ini hilang.
Episod membalas dendam membawa tragedi apabila Kenji ditangkap dan diberikan hukuman penjara selama 14 tahun.
14 tahun di penjara, kehidupan di dunia luar mula berubah. Termasuklah organisasi yakuzanya yang sudah semakin kehilangan kuasa.
Petemuan semula dengan Yuka membuatkan Kenji teruja namun dalam masa yang sama beliau bersedih dengan berita Shibazaki yang hanya menunggu masa untuk ‘pergi’.
Malah 14 tahun cukup untuk mengubah persepsi dunia terhadap yakuza.
“Bukan hanya polis dan undang-undang akan menghukum yakuza, tetapi seluruh dunia.”
Tonton trailer filem Yakuza & A Family di pautan bawah:
Terdahulu, filem fantasi thriller Jepun, Homunculus yang dihasilkan berdasarkan sebuah manga dengan tajuk yang sama pernah menjadi trending di Netflix.
Juga menampilkan Go Ayano sebagai salah satu peneraju utama, filem ini mengisahkan mengenai Nokoshi Susumu yang sebelum ini bergelar pekerja syarikat kewangan terkemuka namun terpaksa menganggur dan tinggal di dalam kereta.
Satu hari, Susumu bertemu dengan Ito Manabu, seorang pelajar perubatan yang menawarkan beliau sejumlah wang sebagai tukaran kepada tawaran menjadi bahan eksperimen dalam prosedur pembedahan haram yang dikenali sebagai trepanation.
Baca lanjut di: ‘Homunculus’, Filem Thriller Jepun Yang Diadaptasi Daripada Manga