
7 Wanita Malaysia Cipta Nama Dalam Kerjaya Yang Dimonopoli Kaum Lelaki
Wanita Malaysia Cipta Nama Dalam Kerjaya Yang Dimonopoli Kaum Lelaki
Belakangan ini, bidang kerjaya yang dahulunya hanya diceburi kaum lelaki sudah mula menyaksikan penglibatan kaum wanita.
Peredaran zaman memperlihatkan perubahan mula berlaku yang mana, bidang kerjaya tidak lagi dimonopoli oleh satu jantina sahaja.
Wanita juga boleh menjalankan tugas yang baik dalam pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh lelaki. Bagaimana mereka boleh persiapkan diri untuk pekerjaan sedemikian?
Antara wanita Malaysia cipta nama dalam kerjaya yang dimonopoli kaum lelaki:
1. Nur Izzati Athirah Mohamad Yusoff – Jurukimpal dalam air wanita Malaysia

Pada usia 21 tahun, Nur Izzati telah mencatatkan rekod dalam bidang kerjaya yang biasanya dimonopoli lelaki iaitu menjadi jurukimpal di tengah laut.
Kerja-kerja kimpalan bawah air adalah salah satu pekerjaan yang amat berbahaya dan melibatkan kerja dalam persekitaran berisiko dengan keterlihatan minimum.
Justeru, pemilihan kerjaya seperti ini amatlah memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Ia juga merupakan sesuatu yang Nur Izzati telah buktikan bahawa dia boleh melakukannya walaupun dia adalah seorang perempuan.
2. Major Patricia Yapp Syau Yin – Juruterbang pesawat pejuang
Mejar Patricia Yapp Syau Yin, juruterbang wanita pertama yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29. Berkhidmat sebagai jurulatih penerbangan di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Walaupun wanita, beliau tetap melalui latihan yang sama seperti orang lain, latihan fizikal yang kental dan latihan di lapangan sama seperti juruterbang di TUDM yang lain.
3. Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman – Pakar astrofizik Malaysia

Professor Datuk Dr. Mazlan Othman merupakan seorang pakar astrofizik wanita pertama di Malaysia. Nama beliau terkenal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kajian astronomi negara dan yang paling membanggakan ialah beliau satu-satunya wanita dalam bidang Astronomi dan Profesional Astrofizik di Malaysia.
Beliau juga merupakan wanita pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Astrofizik dari Universiti Otaga New Zealand dan merupakan ahli fizik bintang pertama negara. Beliau turut menawarkan kursus Astronomi di universiti untuk pelajar prasiswazah serta aktif mempromosi Sains Angkasa.
4. Datuk Lim Phaik Gan – Duta Wanita pertama Malaysia

Datuk Lim Phaik Gan, juga dikenali sebagai PG Lim telah memecahkan rekod seawal usia muda lagi apabila menjadi wanita Malaysia pertama yang menamatkan pengajian dengan ijazah Sarjana Undang-Undang dari Girton College, London.
Apabila Rusuhan 13 Mei melanda dan Parlimen Malaysia digantung, beliau lah salah satu wanita yang dilantik sebagai ahli Majlis Perundangan Negara yang mewartakan Rukun Negara.
Selepas majlis itu dibubarkan, beliau dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau juga merupakan duta kepada Yugoslavia, Austria, dan Komuniti Ekonomi Eropah.
5. Joyce Heng Shu Xia – Atlet wanita sukan orang kuat

Sukan Orang Kuat yang dahulu sinonim dengan sukan untuk lelaki kini sudah mula memperlihatkan pembabitan ramai kaum wanita. Jika lelaki boleh mencipta kejayaan dalam bidang sukan ini, begitu juga dengan wanita.
Joyce Heng Shu Xia, membuktikan kehebatan wanita mencipta nama dan kejayaan dalam bidang ini sudah setanding dengan lelaki. Kejayaan dicapai dalam menjuarai kategori wanita bagi Static Worlds Championship 2019 di Gold Coast, Australia pada Jun lalu antara kejayaan terbesar dicapai oleh atlet sukan ini.
Beliau juga memenangi Pertandingan Orang Kuat di beberapa negeri dan negara termasuk Brunei Darussalam.
6. Sazaimah Sai’on – Mekanik wanita

Minat mendalam terhadap sukan perlumbaan Formula One (F1) mendorong Sazaimah Sai’on, menyertai industri automotif, sekali gus muncul sebagai ketua mekanik di bengkel miliknya.
Beliau menyertai kursus automotif di Pusat Latihan Perantis Mercedes-Benz Malaysia pada 1995 sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mana ketika itu Mercedes0Benz sedang mencari 24 mekanik muda dalam kalangan anak tempatan termasuk perintis mekanik wanita bagi syarikat itu.
Kata Sazaimah, wanita yang berminat menjadi mekanik perlu berani, selain tidak mudah putus asa atau malu dengan kerjaya itu.
7. Rosniza Ghazali – Jurulatih sekolah memandu

Rosniza Ghazali, pernah menjadi wanita pertama merintis bidang pemanduan di Kelantan apabila menyertai kursus GDL Bersendi (treler), mengajar lori Kelas E dan Jentera Berat Berantai Kelas 1 pada 2012.
Beliau pernah menjadi guru memandu wanita tunggal dan pertama di Akademi Memandu Berhemah Kotaraya pada 2003, kemudian ke Harmony Driving Academy Sungai Buloh, Selangor pada 2005 hingga 2011, namun kembali berkhidmat di Institut Akademi Memandu Anda Melor sehingga sekarang.
Berkecimpung selama 19 tahun dalam bidang pemanduan dan melatih calon mendapatkan lesen memandu, Rosniza pernah mengikuti kursus bagi mendapatkan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) pada 2002, malah beliau berjaya menjadi guru memandu wanita dalam kalangan 10 orang di Kelantan ketika itu.
Sumber: BH, Borneo Today
Artikel berkaitan wanita pertama:
BACA: Doktor Wanita Malaysia Ini Perkenal Hijab Pakai Buang ‘Steril’ Pertama Di Hospital UK
BACA: Lt Lohappriya, Wanita India Malaysia Pertama Bergelar Juruterbang TUDM