
7 Mengaku Bersalah Terbalikkan ‘King’, Berdepan Hukuman Penjara Tidak Lebih 5 Tahun
4 orang penghantar makanan P-Hailing, seorang penuntut, seorang penjual topi secara atas talian dan juga seorang pembaiki mesin basuh serta televisyen mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana merusuh sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kereta Perodua Myvi di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada 3 November lalu.
Ketujuh-tujuh lelaki tersebut membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mahkamah turut menetapkan setiap tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap orang, dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kejadian serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah melakukan khianat dengan merosakkan cermin, pintu dan menterbalikkan kereta jenis Perodua Myvi milik seorang pemuda berbangsa Cina berumur 21 tahun sehingga menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM15,000.
Mereka didakwa melakukan perbuatan menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar, membaling batu serta menterbalikkan ‘King’ tersebut di sebuah stesen minyak pada pukul 9.40 malam pada hari kejadian.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tarikh 18 Disember ini telah ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi pendengaran fakta dan hukuman.
Sumber: Kosmo!