
7 Fakta Tentang Asal Usul Sebutan Ringgit Dalam Mata Wang Malaysia Yang Ramai Tak Tahu
Asal Usul Sebutan Ringgit Dalam Mata Wang Malaysia Yang Ramai Tak Tahu.
Orang ramai mula beralih daripada membawa wang tunai kepada perbankan internet dan e-dompet, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.
Namun, wang kertas pertama negara adalah asas utama dalam sejarah pembentukan Malaysia, menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Sejarah wang kertas pertama Malaysia

Mata wang awal Tanah Melayu adalah dolar Selat, yang diganti dengan dolar Tanah Melayu menggunakan wang kertas dan syiling dikeluarkan Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya, ditubuhkan pada 1938.
Selepas Pejabat Kolonial UK mengambil alih bidang kuasa ke atas Sarawak, Borneo Utara British (kini Sabah) dan Labuan, lembaga itu diganti Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo pada 1952.
Not mata wang yang dikeluarkan adalah untuk digunakan di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British, Sarawak, Labuan dan Brunei.
Kedua-dua perkataan ‘dolar’ dan ‘ringgit’ tampil pada reka bentuk wang kertas untuk setiap denominasi. Perkataan dolar pula muncul dalam tulisan Roman dan ringgit dalam huruf Jawi.
Namun, dengan Brunei dan Singapura yang kemudiannya terpisah menjadi negara bebas, Malaysia mempunyai tugas untuk menghasilkan wang kertasnya sendiri.
Di sini, kami kongsikan beberapa fakta yang mungkin hanya segelintir rakyat Malaysia yang mengetahui perkataan ‘ringgit’ yang kini digunakan sebagai mata wang rasmi negara.
1. Sebutan ringgit sudah diguna pakai masyarakat Melayu dalam urusan jual beli kira-kira 500 tahun dulu iaitu ketika Tanah Melayu didatangi pedagang Sepanyol dan Portugis.
2. Perkataan ringgit terhasil daripada satu perkataan Melayu asli yang disebut ‘bergerigi’. Bergerigi itu pula merujuk pada sisi bergerigi yang terdapat pada syiling perak dolar Sepanyol, yang digunakan secara meluas pada era penjajahan Portugis di Melaka sekitar abad ke-16 dan ke-17.
3. Mata wang yang datang dari Sepanyol dinamakan Realle. Realle ketika itu dibuat daripada perak yang ditimbang mengikut sukatan sama namun teknologi ketika itu membuatkan bentuk syiling yang terhasil tidak sekata.
4. Sistem syiling lama yang digelarkan penduduk tempatan sebagai ‘realle batu’, bertukar menjadi ‘realle ringgit’ ekoran wujudnya gerigi-gerigi di bahagian rim syiling.
5. Perkataan ringgit pernah digunakan pada beberapa jenis mata wang lain. Terma ‘ringgit’ telah dicetakkan pada wang kertas 5 dolar keluaran Oriental Banking Corporation of Singapore pada tahun 1849.
6. Mata wang ringgit Malaysia dikeluarkan oleh bank pusat yang baharu, iaitu Bank Negara Malaysia, secara rasminya pada 12 Jun 1967, bagi menggantikan ringgit Malaya dan Borneo British ketika itu.
7. Pada 1992, lambang ‘$’ dalam wang kertas dikeluarkan dan diganti dengan ‘RM’ atau Ringgit Malaysia, manakala di peringkat antarabangsa pula, penggunaan ‘MYR’ diperluaskan sebagai simbol kod mata wang negara Malaysia.
Setiap syiling dan wang kertas yang diperkenalkan mempunyai maksud dan rahsia tersendiri, selain ciri yang menggambarkan sejarah dan kehidupan masyarakat ketika itu.
Sumber: BH, Malaysia Coin