6,000 Kes Positif COVID-19 Dijangka Di Malaysia Pada Pertengahan April Ini – KKM

covid-19

Kementerian Kesihatan menerusi satu sidang media tempoh hari memberitahu dalam pertengahan April ini, kes positif COVID-19 di Malaysia berkemungkinan besar mencapai 6,000.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, jika dilihat pada jangkaan nota penyelidikan JP Morgan, ianya mungkin berlaku.

Namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencuba sebaik mungkin agar sasaran berkenaan tidak dicapai dengan pelaksanaan beberapa langkah pencegahan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah dilanjutkan sehingga 14 April hadapan.

BACA: 10 Info Palsu Tentang Tip Pencegahan COVID-19

Sekiranya graf kes berjaya dilandaikan, maka ianya bermakna perkhidmatan kesihatan Malaysia mampu menampung wabak COVID-19 yang menular.

Sebelum ini, JP Morgan menyatakan kebimbangan susulan daripada jumlah jangkitan yang semakin meningkat namun dengan tindakan pantas petugas kesihatan, fasa berkenaan diyakini akan merosot dalam tempoh 1.5 hingga dua minggu sebelum peringkat akumulasi berlaku.

Terdahulu, kumpulan pengkaji daripada Research for Social Advancement Centre  (REFSA) mendedahkan corak peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia adalah hampir sama dengan corak kes di Itali.

Sekiranya rakyat masih tidak mahu mengamalkan penjarakkan sosial serta mematuhi  Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan, maka tidak mustahil angka 6,000 kes ini akan dicapai menjelang pertengahan April ini.

BACA: Corak Kes COVID-19 Di Malaysia Dan Itali Adalah Sama – Kajian

Jika dilihat kembali, penularan dalam skala yang besar di Itali adalah disebabkan sikap acuh tak acuh rakyat Itali dengan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan. Disebabkan itu juga, Itali terpaksa melanjutkan tempoh berkurung di sana sebagai usaha terakhir mengekang penularan berlaku dengan lebih besar dan pantas.

6,000 Kes Positif Dijangka Pada Pertengahan April – KKM
Sumber: Sarawak Voice

Genap dua minggu PKP dijalankan di Malaysia, sudah terdapat beberapa lokasi diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau lebih mudah dikenali sebagai total lockdown antaranya Simpang RenggamBatu 21-24 Sungai Lui, Hulu Langat dan Menara City One, Jalan Masjid India selepas daripada mencatatkan banyak kes jangkitan positif COVID-19.

Menurut pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkemungkinan besar akan dilanjutkan sehingga dua bulan apabila ada sesetengah rakyat masih lagi mengabaikan penjarakkan sosial serta tidak mengamalkan etika batuk dan bersih yang betul.

Sekiranya rakyat mematuhi PKP yang dikuatkuasakan kerajaan dalam tempoh dua minggu akan datang, maka tak mustahil rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan di Malaysia.