Dadah Thailand

6 Dari 71 Individu Positif Dadah Selepas Pulang Dari Thailand Berdepan Tindakan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar yang menjalankan Op Tapis Sempadan di pos kawalan warta iaitu Wang Kelian dan Padang Besar pada 23 hingga 24 Julai lepas mendapati seramai 6 daripada 71 individu yang menjalani saringan ujian air kencing didapati positif dadah.

Ujian saringan tersebut dibuat hasil dari 96 pemeriksaan yang dilakukan selepas akhbar tempatan melaporkan ramai rakyat di kawasan sempadan mengambil kesempatan untuk menikmati minuman bercampur bahan terlarang tersebut setiap kali tibanya hujung minggu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, rakyat Malaysia yang didapati positif dadah selepas pulang dari Thailand tersebut akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Akta dan tindakan sama juga diambil kepada mana-mana individu memasukkan dadah dalam tubuh badan dan didapati positif di negara ini.

“Jika ada rakyat Malaysia dengan sengaja mencuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk ganja yang menyebabkan mereka khayal akan didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

“Operasi Tapis ini bukan hanya dilakukan di sempadan malah seluruh negeri Perlis secara berkala selari dengan tindakan Op Tapis Khas dijalankan setiap bulan di seluruh Malaysia,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, pihak polis juga akan menggunakan kepakaran dalam pengumpulan maklumat risikan dan mengenalpasti sindiket tempatan yang mempunyai pertalian dengan kegiatan pengedaran dadah merentasi sempadan.

Dadah Thailand

BACA: Orang Ramai Kini Berisiko Untuk Positif Dadah Jika Menjamu Selera Di Thailand

Sumber: astro AWANI