5 Situasi Dijangka Akan Berlaku Selepas Anwar Menghadap Agong

5 Situasi Dijangka Akan Berlaku Selepas Anwar Ibrahim Menghadap Agong

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sudah tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada jam 10.25 pagi tadi.

Hadir dengan menaiki Jaguar hitam menerusi pintu 2, beliau dilihat diiringi sebuah lagi kereta Volkswagen berwarna hitam.

BACA: Pintu Masuk Istana Negara: Ketahui Jenis-Jenis Tetamu Yang Dibenarkan Melaluinya

Anwar sebelum ini mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen dan sedia membentuk kerajaan baharu.

Seorang peguam yang juga pakar undang-undang Perlembagaan, Lim Wei Jiet berkongsikan kepada Astro Awani terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku selepas Anwar selesai menghadap Agong hari ini.

1) Sekiranya Anwar tidak benar-benar mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen, maka tiada apa akan berlaku dan mungkin beliau akan diminta untuk mencuba nasib pada masa akan datang.

2) Sekiranya Anwar dapat membawa dokumen dalam bentuk surat akuan berkanun atau Statutory Declaration (SD),  Al-Sultan Abdullah mungkin boleh menasihatkan Anwar supaya mengemukakan keterangan lebih konkrit.
Mungkin baginda boleh mewawancara semua ahli Parlimen seperti yang baginda lakukan sebelum ini bagi mengenal pasti sokongan yang diperoleh Anwar.

Cuti Umum Pertabalan Agong 3

3) YDP Agong juga boleh menasihati Anwar supaya mengemukakan satu usul khas di Parlimen, bukan hanya melalui SD atau wawancara, sekiranya benar beliau mempunyai sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Cara ke-3 ini banyak diamalkan di negara-negara lain yang mempraktikkan sistem demokrasi.

4) Jika YDP Agong benar-benar yakin bahawa Anwar sememangnya mempunyai majoriti, baginda boleh menitahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertemu baginda terlebih dahulu.

Muhyiddin kemudian mempunyai dua pilihan, sama ada beliau boleh meletak jawatan, atau menasihatkan YDP Agong untuk membubarkan Parlimen.

Pada peringkat ke-4 ini, Al-Sultan Abdullah mempunyai budi bicara sama ada menerima cadangan membubarkan Parlimen atau menolak cadangan tersebut.

5) Sekiranya YDP Agong menolak cadangan pembubaran Parlimen, Al-Sultan Abdullah boleh terus melantik Anwar menjadi Perdana Menteri.

BACA: Umum Dapat Sokongan Kukuh Bentuk Kerajaan Baharu, Uncle Kentang ‘Troll’ Anwar Ibrahim

Manakala, daripada sisi Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, beliau berpendapat YDP Agong pasti akan meneliti pelbagai aspek terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Melihatkan kepada pengalaman lepas, Agong bertemu dengan semua Ahli Parlimen bagi memastikan keputusan baginda benar-benar kukuh.

Dokumen Surat  Akuan Berkanun ini belum menjadi satu asas yang kukuh untuk baginda terima apa sahaja yang dikemukakan Anwar kerana baginda dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat teliti sebelum melakukan sesuatu keputusan.

Dalam perkembangan terbaharu, Anwar Ibrahim dilaporkan keluar dari Istana Negara kira-kira selepas sejam menghadap Agong.

Beliau yang dilihat bersendirian di tempat duduk belakang kereta Jaguar dilihat hanya melambai dan tersenyum kepada pengamal media yang menunggunya di luar pintu 2 Istana Negara.

Turut bersama di perkarangan luar pintu 2 adalah beberapa penyokong beliau yang melaungkan ‘Reformasi Anwar PM’ sebagai sokongan kepada beliau untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-9.