Kedai Aceh

5 Sebab Kenapa Masih Ramai Pilih Kedai Aceh Untuk Beli Barang Runcit

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bermula dengan kecil-kecilan, kedai Aceh atau perniagaan kedai runcit yang diusahakan oleh warga asing Indonesia kini dilihat semakin berkembang pesat.

Bukan sahaja di kawasan Lembah Klang, kedai Aceh kini dikhabarkan telah mula bertapak di beberapa kawasan lain di seluruh negara.

Ada yang sudah bertambah maju serta mampu menaik taraf kedai masing-masing malah ada juga yang sudah bercambah sehingga menjadi tiga lot kedai.

Portal Majoriti telah membuat tinjauan mengenai fenomena luar biasa ini bagi merungkai persoalan mengapa kedai Aceh masih kekal dalam komuniti, menjadi pilihan ramai dan berupaya berkembang maju.

Kedai Aceh

Berikut adalah 5 hasil penemuan portal berita tersebut:

1) Barangan basah segar

Kedai Aceh ada menjual barangan basah seperti ikan, sayur dan sebagainya yang memudahkan orang ramai tanpa perlu pergi ke pasar kerana lokasi kedai ini yang lebih hampir dengan rumah mereka.

2) Boleh dapat diskaun

Mereka juga tidak mempunyai sistem jual beli yang ketat misalnya jika pembeli tidak mempunyai wang kecil seperti syiling, peniaga kedai Aceh biasanya tidak berkira dan meng’halal’kannya sahaja.

3) Mudah dan cepat

Kawasan perumahan dijadikan ruang operasi kerana mereka akan menjadi lebih rapat dan hampir dengan komuniti malah terdapat pelanggan bermotosikal yang boleh memesan terus barang yang diinginkan dari atas motor sahaja.

4) Harga munasabah

Harga barangan yang ditawarkan masih rendah walaupun masih ada harga barangan yang agak tinggi berbanding pasar raya besar. Namun, lokasi kedai Aceh yang lebih dekat tetap menjadi pilihan berbanding terpaksa pergi lebih jauh semata-mata untuk mendapatkan harga yang sedikit murah.

5) Jual barangan seludup

Kebanyakan kedai Aceh menjadi pilihan ramai perokok tegar kerana mereka turut menjual barangan seludup terutamanya rokok dan pelbagai lagi barangan lain dari Indonesia. Penguatkuasaan dari pihak berkuasa yang longgar turut menjadi faktor kenapa kedai Aceh semakin berleluasa.

BACA: Mampu ‘Menumbangkan’ Pasar Raya Besar, Ini Sebenarnya Kelebihan Yang Ada Pada 99 Speedmart

Sumber: Majoriti