
5 Sebab China Sering Ceroboh Beting Patinggi Ali
Sebab China Sering Ceroboh Beting Patinggi Ali.
Baru-baru ini, berlaku pencerobohan dari maritim China yang mana dikenal pasti kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Sarawak iaitu di kawasan Beting Patinggi Ali.
Berikutan itu, aset Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerah ke lokasi terbabit untuk mengetatkan kawalan perairan yang terletak 84 batu nautika dari Miri.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama berlaku pencerobohan pihak China di kawasan Beting Patinggi Ali. Misalnya, kapal mereka pernah ‘bertenggek’ di perairan itu sepanjang 1 Disember 2019 hingga 30 November 2020.
Apa yang begitu istimewa dan pentingnya Beting Patinggi Ali ini sehinggakan berkali-kali China sengaja ceroboh kawasan zon maritim Malaysia?
Sebagai info, Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak. Merupakan taman negara marin terbesar di Malaysia yang diisytiharkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada tahun 2017.
Beting ini turut dikenali sebagai Taman Negara Gugusan Luconia yang terdiri daripada beberapa terumbu seperti Hempasan Bentin, Terumbu Balingian, Beting Merpati, Terumbu Sahap, Sierra Blanca dan Terumbu Saji yang boleh dilihat ketika air surut.
Beting ini diberi sempena nama pemimpin Datuk Patinggi Ali iaitu seorang pemimpin masyarakat Melayu di Sarawak pada awal abad ke-19. Beliau menentang kerajaan Brunei ketika pemerintahan Pengiran Mahkota dan Raja Muda Hashim antara 1837-1840.
James Brooke melantik beliau sebagai ketua masyarakat Melayu pada 1841 dan begitu berjasa dalam mempertahankan pemerintahannya.
Keistimewaan Beting Patinggi Ali yang menjadi rebutan China
1. Banyak sumber minyak dan gas di dasar laut
Wujud beberapa platform minyak dan gas milik PETRONAS terletak kurang 25 km dari sempadan Taman Negara Gugusan Luconia yang telah dicadangkan. Manakala satu platfrom yang tidak diselenggara manusia juga turut berada dalam kawasan beting ini.
Dikatakan, beberapa ribu kilometer persegi di bahagian utara dan selatan beting ini sebenarnya mempunyai pentas dasar dengan kedalaman 5 hingga 40 meter di bawah paras laut.
2. Berada dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia
Berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), beting itu berada di dalam kawasan EEZ Malaysia yang menunjukkan negara berhak menuntut kawasan dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika.
3. Pusat tangkapan ikan popular

Nelayan tempatan bebas menjalankan aktiviti di kawasan EEZ. Kawasan ini juga adalah pusat tangkapan popular nelayan asing dari Vietnam dan Thailand, tetapi semakin lama mula dikuasai nelayan China.
Kapal pengawal mereka yang sering lalu di situ telah menyebabkan nelayan tempatan takut untuk mendekati dan kadang kala sering diusir walaupun mereka tiada hak.
4. Berada dalam tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan
Lagi tidak masuk akal, beting ini terletak sekitar 2,000 kilometer dari Tanah Besar China dan bukan berada dalam kawasan ‘tuntutan bertindih’ antara Malaysia dengan negara lain.
9-Dash Line merupakana kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan. China sejak sekian lama, membuat tuntutan di Laut China Selatan berdasarkan ‘sembilan garis putus-putus’ yang tidak diiktiraf ASEAN.
Kawasan ini terdiri daripada kawasan EEZ beberapa negara termasuklah Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Taiwan.
5. Kecantikan dan keindahan Gugusan Beting Patinggi Ali
Tidak dinafikan, keindahan terumbu karang di sini begitu memukau dan turut menjadi lokasi penempatan bagi spesies ikan sinar manta, wrasse dan kerapu.
Kawasan ini juga belum diterokai sepenuhnya, jadi tentunya masih menyimpan khazanah alam yang tidak diketahui dan amat berharga
Turut dijumpai sebuah kapal karam iaitu kapal kargo British berusia 150 tahun yang dikenali sebagai Viscount Melbourne.
Pada pertengahan 2009, editor dan jurugambar majalah Chinese National Geography menjelajah dan mengambil gambar di kawasan ini. Malah, turut memacakkan tanda kedaulatan di situ.
Tindakan Malaysia, kerajaan sentiasa berpendirian tegas untuk menolak tuntutan China di perairan itu.