Bisnes

5 Pemacu Perubahan Untuk Perancangan Bisnes Dan Menghadapi Ketidaktentuan Pada 2023

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dijangkakan pada tahun 2023 nanti, golongan usahawan akan diduga dengan pelbagai cabaran akibat ketidakstabilan ekonomi di seluruh dunia.

Beberapa syarikat gergasi dunia juga khabarnya telah bersedia untuk menghadapi kegawatan ini dengan melakukan beberapa perubahan drastik termasuk pembuangan ribuan pekerja mereka.

BACA: Meta, Twitter, Microsoft Berlumba-Lumba Buang Pekerja – Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Untuk membuat persediaan dan perancangan bagi menghadapi ketidaktentuan ini, usahawan sebenarnya perlu untuk membuat jangkaan ke atas beberapa perkara penting yang disebut sebagai ‘pemacu perubahan’.

Di Facebooknya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff telah membuat perkongsian ilmu berikut yang boleh dijadikan sebagai panduan buat semua golongan usahawan untuk membuat perancangan dan persediaan bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan pada tahun 2023 kelak.

Bisnes

Menghadapi ketidaktentuan

Untuk menyediakan pelan perniagaan 2023, usahawan perlu membuat jangkaan berkenaan suasana perniagaan tahun hadapan. Persoalannya bagaimana nak jangka perkara yang tidak menentu?

Saya sering menggunakan tapisan (filter) ini sebagai kaedah untuk menjadikan usaha menjangka masa hadapan lebih tersusun.

Ada 5 pemacu perubahan (change drivers) yang boleh mempengaruhi perniagaan kita, pembekal, pelanggan dan juga pesaing:

  1. Masyarakat
  2. Teknologi
  3. Ekonomi
  4. Alam
  5. Peraturan/Politik

Masyarakat merujuk kepada selera pelanggan dan juga pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) di dalam pelbagai aspek yang boleh berubah dan memberi kesan ke atas perniagaan kita. Contohnya ialah kaedah pembelian semasa dan selepas pandemik Covid-19. Banyak beza tu.

Oleh kerana teknologi merupakan satu perkara yang memberikan kesan ke atas kehidupan kita secara keseluruhannya, kita tidak boleh mengabaikan apa-apa perubahan sekecil perubahan algorithma di dalam platfom yang kita gunakan sekali pun.

Kuasa ekonomi sememangnya akan memberi kesan ke atas perniagaan kerana ianya mempengaruhi kitaran wang dan juga kuasa beli pelanggan. Apa yang menjadi cabaran ialah ekonomi kita amat terbuka dan kitaran ekonomi menjadi semakin singkat.

Walaupun dahulu kita tidak begitu memperdulikan berkenaan alam, saya kira sudah ramai dari usahawan yang mula menyedari kesan alam ke atas kehidupan dan perniagaan. Contohnya, sekiranya banjir berlaku, adakah rantaian bekalan kita tetap teguh atau pun terputus? Bagi usahawan di dalam bidang pertanian, cuaca adalah satu faktor yang tidak boleh diabaikan.

Akhir sekali ialah peraturan dan undang-undang yang boleh berubah dan memberi kesan ke atas perniagaan. Contohnya, setiap tahun peraturan dan undang-undang pencukaian akan berubah. Sekiranya usahawan tidak mengambil berat ke atas perubahan ini, jumlah cukai yang perlu dibayar mungkin bertambah.

Saya cadangkan agar disenaraikan perubahan-perubahan yang dijangka akan berlaku dan kenal pasti kesannya ke atas perniagaan kita, pembekal dan juga pelanggan. Jangan lupa kepada pesaing yang akan cuba mempengaruhi pelanggan kita atau adakah produk baharu yang akan menyebabkan kita kehilangan pelanggan?

Dapatan dari proses di atas akan memberikan kita satu gambaran kasar apakah yang mungkin berlaku di tahun hadapan. Dari situ kita boleh mengenal pasti perancangan yang membolehkan kita mengambil peluang dan juga menangani sebarang risiko yang boleh kita jangka. Semua ini akan masuk ke dalam rancangan perniagaan kita untuk tahun 2023.

Sumber: Nik Hasyudeen