
37 Tahun Setia Hantar Bekal Ke Tempat Kerja Arwah Suami, Kisah Rindu Mak Cik Saadiah Jadi Inspirasi Iklan Raya SAJI
Ada orang kata, iklan raya yang berjaya buatkan penonton menitiskan air mata adalah iklan raya yang terbaik.
Dalam banyak-banyak iklan raya pada tahun 2021, iklan daripada jenama SAJI merupakan salah satu iklan raya yang berjaya meruntun setiap jiwa yang menontonnya.
Mengisahkan mengenai Mak Teh yang semangat mengayuh basikal menghantar bekal buat suaminya di hospital, plot twist kisah Mak Teh ini membuatkan penont0n tanpa gagal merasa sayu.
Untuk pengetahuan anda, iklan raya SAJI: Mangkuk Tingkat Mak Teh ini diinspirasikan daripada kisah benar Mak Cik Saadiah Abdullah yang masih setia menghantar bekal di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gerik biarpun suaminya, Alias Nik Daud sudah meninggal dunia.

Terbiasa dengan rutin menghantar nasi dan lauk kepada suaminya yang bertugas, Mak Cik Saadiah sebelum ini akan menghantar makanan setiap hari dengan mengayuh basikal ke lokasi yang terletak sekitar lima kilometer dari rumahnya.

Namun rutin itu terhenti sejak lima tahun lepas selepas beliau mengalami kecederaan selepas terjatuh basikal pada 2012 sebelum ianya kembali disambung pada Mei lalu.

Namun, kali ini beliau tidak lagi mengayuh basikal.
Sebaliknya, wanita yang kini berusia 81 tahun ini hanya membonceng motosikal yang ditunggang anaknya. Malah menu rutin yang kini hanya dibuat sebulan sekali itu juga ditukar kepada makanan ringan seperti gula-gula.
Biarpun suaminya terkorban dalam tragedi serang hendap komunis semasa sedang bertugas pada 28 Ogos 1975, namun rutin menghantar bekal tetap diteruskan demi kasih sayang dan kesetiaan kepada arwah suaminya selain daripada supaya rakan-rakan arwah dan anggota balai lain turut dapat merasai masakannya.
Selepas daripada kecederaan akibat jatuh basikal, Mak Cik Saadiah teruskan dengan menghantar bekalan untuk anak cucunya yang tinggal dalam jarak dua kilometer dengan berjalan kaki setiap hari sejak dua tahun lalu.
Sumber: Berita Harian