
3,000 Pekerja Diperlukan, Ini Peluang Rakyat Tempatan Monopoli Pasar Borong
Lebih 400 peniaga dan pemborong di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, memerlukan hampir 3,000 pekerja tempatan untuk membantu mereka menjalankan perniagaan.
Ia berikutan mereka berdepan kekurangan tenaga kerja kritikal, susulan kebanyakan pekerja adalah warga asing, tinggal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sekali gus tidak dibenarkan bekerja di pasar borong itu.
Belakangan ini, semakin ramai warga asing menguasai perniagaan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur tanpa adanya kawalan pihak berkuasa.
Setiausaha Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur, Law Tek Kim, memberitahu peniaga sayur di Pasar Borong Kuala Lumpur memerlukan sekitar 2,000 pekerja untuk membantu memunggah sayur daripada lori serta menghantarnya ke kedai.
“Sekarang memang tak cukup pekerja dan kalau boleh kami mahu cari pekerja tempatan dengan bayaran gaji sekitar RM80 sehari, dan bekerja dari jam 10 pagi hingga 7 malam.
“Pekerja ini diperlukan untuk membawa sayur turun dan naik daripada lori, menyusun sayur di kedai atau menghantar sayur yang dijual kepada pelanggan.
“Namun, rakyat tempatan yang mahu bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif dahulu, sebelum boleh diberikan pas masuk ke kawasan ini,” katanya.
Kata Tek Kim, kekurangan pekerja yang dialami semua pemborong di situ, menyebabkan mereka terpaksa meminimumkan bekalan sayur yang diambil dari ladang, menyebabkan jumlah sayur yang dijual di pasar borong itu ketika ini terhad.
“Bekalan memang banyak, tapi disebabkan tiada pekerja dan bimbang tak dapat jual dan hantar kepada ramai pelanggan, kami terpaksa hadkan jumlah sayur dari ladang.
“Contohnya, dulu saya ada enam pekerja dan mampu jual 200 kotak sayur sehari. Sekarang hanya saya dan adik, jadi hanya mampu urus dan jual antara 80 hingga 100 kotak sehari,” katanya.
Manakala peniaga ikan di Pasar Borong Kuala Lumpur itu memerlukan sekitar 700 pekerja ketika ini.
Jelasnya, mereka sanggup membayar RM2,000 sebulan kepada pekerja tempatan yang bekerja memunggah barangan dari lori dan menghantar ikan yang dijual, dari jam 11 malam hingga 8 pagi, berbanding pekerja warga asing yang dibayar antara RM50 hingga RM70 sehari.
“Warga tempatan didahulukan untuk bekerja dengan kami, khususnya daripada golongan B40 dan sedang bekerjasama dengan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran untuk mencari warga tempatan B40 untuk bekerja dengan kami.
“Kalau pekerja tempatan sanggup buat kerja-kerja ini yang kotor, busuk, basah dan berat, kami tidak perlu cari pekerja warga asing,” katanya yang sudah memaklumkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai kekurangan itu.
Sumber: BH