
3 Versi Kisah Hantu KumKum Yang Pernah Gemparkan Malaysia Suatu Ketika Dahulu
Beberapa hari ini, tular mengenai ketukan misteri yang bermula pada tengah malam sehingga awal pagi di Sabak Bernam. Apabila dilihat, tiada sesiapa pun di luar. Malah ada sesetengahnya yang mendakwa ianya turut diselangi dengan tangisan di tingkap.
Sudah beberapa kali sebenarnya Malaysia diselubungi dengan misteri sebegini. Pada tahun lepas di Perak, antaranya yang menjadi mangsa adalah penduduk di Kampung Gajah.
Melihat kepada kejadian misteri ini, teringat mengenai kisah hantu kumkum yang pernah menghantui zaman kecil masyarakat pada satu ketika dahulu – sekitar 1983 dan 1984.
Hantu KomKom: Amalan Ilmu Hitam (Darah Haid)
Kisahnya bermula apabila seorang wanita mengamalkan ilmu hitam bagi mencantikkan muka buat selama-lamanya. Namun ada pantang larang yang perlu beliau ikuti iaitu dilarang melihat cermin selama 10 hari sesetengah cerita mengatakan sebulan.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau sering mendapat pujian mengenai kejelitaannya menyebabkan beliau tidak sabar untuk melihat sendiri mukanya di cermin.

Akibat pantang larangnya dilanggar, mukanya menjadi buruk dan semasa bertemu dengan gurunya, ada syarat yang perlu beliau patuhi sekiranya mahu sembuh iaitu dengan menyapu darah kotor perawan ke mukanya.
Malu mahu keluar dengan muka yang hodoh, beliau mengenakan jilbab merayau-rayau mencari mangsa dari rumah ke rumah sambil memberi salam ‘Assalamualaikum… Kum… Kum…’
Hantu KomKom: Amalan Ilmu Hitam (Pembunuhan 99 Wanita Cantik)
Dalam satu versi yang lain, hantu kumkum muncul dengan punca yang sama – pengamalan ilmu hitam. Namun kerana tidak berjaya menyempurnakan syarat, beliau perlu membunuh 99 wanitwa cantik muda dalam tempoh masa tiga bulan.
Berbakikan 10 orang mangsa, beliau diberi peluang untuk menyempurnakan ritual tersebut dengan syarat mucul sebagai sifat seorang wanita bertelekung, keluar pada waktu siang dan hanya cuma nampak bahagian mata.
Bagi mencari mangsanya, beliau akan pergi dari satu rumah ke rumah lain dengan memberi salam ‘Assalamualaikum… Kum… Kum..’
Gemparnya kisah ini sampaikan pernah disiarkan dalam media tempatan.
Hantu KomKom: Sindiran Kumpulan Wanita Seksi Kepada Mereka Yang Berjilbab
Menurut sumber Wikipedia, penelitian secara ilmiah merasakan hantu kumkum ini mula berkeliaran pada tahun 1980-an yang mana pada ketika itu kebangkitan kesedaran semula Islam di kalangan orang-orang Melayu.
Pada ketika itu, para pemudi mula mengenakan hijab sehingga tidak disenangi kumpulan wanita seksi yang mengenakan mini skirt.
Jadi gelaran hantu kumkum diberikan kepada kumpulan yang mengenakan jilbab (purdah) sebagai sindirian kepada kumpulan wanita tersebut.

Hantu kumkum kembali popular ketika kumpulan Al-Arqam yang kini sudah diharamkan di Malaysia tetapi masih aktif sebagai Rufaqa’ disebbakan pengikut wanita Al-Arqam ratanya-ratanya memakain purdah.
BACA: Di Sebalik Tabir Kekuatan Ekonomi Empayar Al-Arqam Dengan Nilai Lebih RM500 Juta
Disebabkan ramai yang takut dengan kemunculan hantu kumkum ini, maka ianya digunakan sesetengah ibu bapa untuk menakutkan anak mereka supaya pulang awal ke rumah supaya tidak terserempak dengan kelibatnya.
Malah sehingga kini, ada juga yang menggunakan frasa ‘Assalamualaikum… Kum… Kum…’ untuk menakutkan rakan-rakan terutamanya mereka yang terkenal dengan perangai penakut.
Trending now



