Guru

3 Punca Isu Kekurangan Guru Yang Dikenal Pasti Dan Kenapa Ianya Semakin Membimbangkan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wartawan Israr Khalid dari astro AWANI melaporkan, terdapat tiga punca sebenar isu kekurangan guru pada ketika ini yang perlu diberi perhatian.

Punca-punca yang perlu diberi penekanan tersebut telah dikenal pasti oleh seorang pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Menurut beliau, ketiga-tiga perkara itu amat perlu untuk ditangani dari akar permasalahannya bagi menjamin sistem pendidikan Malaysia agar tidak terus terganggu sehingga akhirnya memberi kesan kepada kualiti generasi penggerak masa hadapan.

“Sebenarnya, kita adalah antara negara terbaik, malah berbanding negara-negara maju, dalam angka ini. Kalau ikut nisbah, seorang guru untuk 12 orang murid.

“Untuk dibandingkan, Australia nisbahnya 1:18, Singapura 1:14, United Kingdom pula 1:18 dan Amerika Syarikat 1:21. Kita cuma 1:12,” jelasnya dalam satu program Agenda AWANI.

Persoalannya ialah, mengapa isu kekurangan guru ini masih lagi menjadi masalah besar bagi negara kita malah ianya juga dilihat semakin membimbangkan setiap tahun?

Berikut adalah 3 punca kekurangan guru di Malaysia menurut Dr Anuar Ahmad:

  1. Kita punyai terlalu banyak mata pelajaran – Walaupun bilangan guru sebenarnya cukup untuk murid, tetapi ia tidak cukup untuk merangkumi segala mata pelajaran yang dimuatkan dalam silibus pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Ini lebih banyak dibandingkan dengan negara-negara maju dunia.
  2. Ramai guru bersara awal – Disebabkan oleh tugas mengajar yang dibebankan lagi dengan kerja-kerja dokumentasi, ramai guru mengambil keputusan untuk bersara sebelum sampai usianya. Bilangan guru yang bersara awal juga semakin meningkat melebihi 10,000 orang, lebih kurang sama banyak dengan guru yang bersara wajib. Ini bermakna hampir 20,000 orang guru bersara setiap tahun.
  3. Sebahagian guru diserap masuk dalam pentadbiran – Ada guru yang berhenti mengajar apabila dilantik menjadi pentadbir dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pendidikan (KPM).

Guru

BACA: Sisi Gelap Sistem Pendidikan – Guru Nekad Bersara Awal Dedah Tertekan Hingga Terpaksa Menipu

Sumber: astro AWANI