Dron Penjara

3 Lelaki ‘Kantoi’ Guna Dron Untuk Seludup Barang Masuk Dalam Penjara Machang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Polis berjaya menangkap tiga orang lelaki yang dipercayai cuba menceroboh dan menyeludup masuk tembakau dengan menerbangkan sebuah dron ke dalam kawasan Penjara Machang, Kelantan.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Machang dilaporkan telah menerima maklumat dari pihak Penjara Machang yang melihat sebuah dron diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara kira-kira pukul 1.05 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan menggunakan teknologi peranti pengesan mendapati, pengendali dron itu dikesan berada di kawasan berhampiran penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret.

Dron tersebut dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk bahan terlarang ke dalam kawasan penjara.

“Polis terus menjejaki lokasi tersebut dan mengesan tiga lelaki tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah SUV jenis Honda CR-V sebelum kenderaan itu dipecut laju,” jelasnya.

Menurut laporan wartawan KOSMO!, Rohana Mohd Nawi, ketiga-tiga suspek yang berusia 35 hingga 39 tahun itu berjaya ditahan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bukit Belah selepas mereka cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah Honda CR-V sebelum dikejar polis sejauh 300 meter.

Pemeriksaan menemukan lima buah telefon bimbit, dua unit pengecas mudah alih, 20 biji mercun bola, sebilah parang, sebilah badik, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

Turut ditemukan segulung plastik pembalut, satu unit kawalan jauh dron, 13 bungkusan tembakau dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

“Sehubungan itu, orang ramai tidak boleh menerbangkan dron tanpa permit Jabatan Penerbangan Awam.

“Penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada,” ujarnya lagi.

Dron Penjara

BACA: Kisah Lelaki Miskin Yang Bertuah Jadi Tetamu Allah Gara-Gara Sebuah Dron Jatuh Depan Rumah

Sumber: KOSMO!