Kanser Wanita

3 Jenis Kanser Tertinggi Di Kalangan Wanita & Cara Mudah Untuk Buat Saringan Awal

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kesedaran mengenai kanser dalam kalangan rakyat Malaysia pernah dilaporkan masih lagi berada di tahap yang rendah dan menjadi punca peningkatan kes lewat dikesan iaitu hanya setelah pesakit tersebut berada di tahap tiga dan empat.

Pengesanan lewat ini merupakan satu masalah yang perlu diberi penekanan kerana kadar peningkatan peratusannya pada ketika ini dilihat amat membimbangkan khususnya di kalangan wanita Malaysia yang berisiko menghidap kanser payudara, pangkal rahim dan usus.

Satu hantaran telah dibuat oleh Dr Amirul Amzar bagi memberi penerangan mengenai kanser di kalangan wanita sekali gus meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap pengesanan dan pentingnya saringan awal kesihatan dibuat.

Berikut adalah 3 jenis kanser yang mencatatkan jumlah tertinggi di kalangan wanita di Malaysia dan bagaimana saringan awal boleh dibuat dengan mudah seperti yang dinasihatkan oleh Dr Amirul.

Kanser Wanita

KANSER

Antara kanser tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia adalah:

  1. Kanser payudara
  2. Kanser pangkal rahim
  3. Kanser usus

Kanser ni kalau dikesan awal, ada rawatan yang boleh menyembuhkan. Jadi, penting untuk buat saringan.

Yang menariknya, kesemua tiga-tiga kanser saya sebut tu ada saringan yang mudah.

Kanser payudara, kita saring dengan mammogram. Umumnya dibuat dua tahun sekali bermula usia 50-74 tahun. Tapi untuk golongan berisiko tinggi seperti ada sejarah keluarga, ada sejarah radiasi pada dada atau mutasi genetik yang tertentu, boleh bermula seawal 30 tahun.

Kanser pangkal rahim, kita mula saringan seawal 21 tahun guna pap smear. Tempohnya 1-3 tahun sekali bergantung kepada keputusan pap smear terdahulu. Dan di beberapa klinik kesihatan dah ada HPV test yang mana lebih mudah dan selesa berbanding pap smear.

Kanser usus, kita buat saringan guna sampel najis seawal usia 50 tahun. Kita buat setahun sekali. Ni boleh buat dekat klinik kesihatan je.

Pendek kata, saringan ketiga-tiga kanser ni ada dekat je dengan kita. Atas kita je nak buat atau tidak. Buatlah.

Kurangkan risiko kanser:

  1. Berhenti merokok, jauhi perokok
  2. Kurangkan makanan berproses
  3. Jaga berat badan
  4. Bersenam berterusan
  5. Ambil vaksin HPV untuk elak kanser pangkal rahim

Moga jadi manfaat kepada semua.

Dr Amirul Amzar
Pakar Perubatan Keluarga

Kanser Wanita

BACA: Pengambilan Suplemen Kolagen Untuk Putihkan Kulit Boleh Menyebabkan Kanser?