
3 Dosa Yang Golongan Suami Perlu Sedar Kerap Dilakukan Oleh Mereka Pada Hari Ini
Seorang suami atau ketua keluarga mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap rumahtangga yang dibina.
Malangnya, ramai dari golongan suami pada hari ini didapati sering terlupa atau tidak sedar mengenai hakikat ini seterusnya mengabaikan tanggungjawab mereka.
Menyedari hal ini, pakar motivasi terkenal Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah telah membuat hantaran berikut di Facebooknya untuk sama-sama mengingatkan di antara satu sama lain serta berpesan kepada semua para suami di luar sana.
Suami akhir zaman perlu sedar tentang 3 dosa yang kerap dilakukan saban hari iaitu:
1) Tidak meletakkan agama sebagai asas utama dalam rumahtangga
Seorang suami yang berpegang teguh pada agama akan selalu menjadi ketua di rumah dengan cara mengimamkan solat berjemaah.
Seorang suami itu juga selalu mengajak isterinya mengaji bersama-sama serta berpesan-pesan tentang kebenaran dan kesabaran.
Sedihnya hari ini, berapa ramai hari ini, suami sendiri tidak bersolat. Suami sendiri yang mengabaikan hal agama buat rumahtangga jadi terumbang-ambing.
2) Tidak menyediakan nafkah yang mencukupi untuk isteri
Pendapatannnya hanya untuknya, sedang isteri sampai perlu meminta berulangkali baru diberi. Itupun, ada yang membentak dan marah. Sehingga suruh usaha sendiri.
Benar, hari ini, ramai isteri bekerja. Mereka ini ramai yang berusaha untuk bantu ringankan beban suami.
Walhal, pada dasarnya segala pendapatan isteri adalah milik isteri dan segala keperluan asas perlu ditampung oleh suami.
3) Membiarkan isteri uruskan rumah sendiri
Sebenarnya, urusan rumah adalah urusan suami. Isteri hanya membantu dan melancarkan urusannya sahaja.
Namun, kita sudah terbiasa, suami penat bekerja di rumah maka isterilah yang kena fokus jaga rumah. Walhal ramai isteri bekerja sekarang dan urusan rumahtangga adalah tanggungjawab bersama.
Tiada yang terkecuali.
Anak cucu dan sahabat Tok Abah,
Nak pastikan rumahtangga kita sentiasa harmoni, jangan pernah mengabaikan tanggungjawab masing-masing dalam berumahtangga.
Kita berkeluarga ini bukan untuk sehari dua. Hasrat dan matlamat kita, nak berbahagia sampai syurga.
Namun, jika di dunia pun kita tak mampu wujudkan ‘syurga’ dalam rumahtangga, bagaimana nak menempa syurga di akhirat sana.
Sama-sama kita ambil iktibar dan manfaat bersama.
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Peringatan untuk kita semua.
BACA: Isteri Sibuk Tolong Bayar Kelengkapan Rumah Demi Bantu Suami, Adakah Langkah Ini Tepat?
Sumber: Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah