
3 Daripada 4 Mangsa Terkorban, Ini Risiko Yang Wajib Anda Tahu Tentang Tabiat Buruk Tidur Dalam Kereta
3 daripada 4 mangsa terkorban, ini risiko yang wajib anda tahu tentang tabiat tidur dalam kenderaan.
Semalam (17 September), kita dikejutkan dengan penemuan empat orang gadis dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di kawasan stesen minyak Shell Samagagah, Seberang Jaya.
Percutian ke Pulau Jerejak berakhir dengan tragedi apabila 3 daripada 4 mangsa dilaporkan meninggal dunia, manakala seorang lagi kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

Keempatnya dipercayai mengalami keracunan gas karbon monoksida yang berpunca daripada kebocoran di bahagian ekzos kereta yang mengeluarkan bunyi dan bau asap yang kuat.
Kejadian korban akibat berehat atau tidur di dalam kenderaan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sudah banyak kes yang dilaporkan berpunca daripada keadaan yang sama.
Macam mana tabiat tidur dalam kenderaan boleh mengundang risiko maut?
1. Kegagalan sistem ekzos
Kebocoran ekzos kereta boleh menyebabkan gas karbon monoksida masuk ke dalam kenderaan sehingga menyebabkan kadar oksigen dalam kereta berkurangan dan kadar karbon monoksida meningkat.
Tanpa sedar dalam masa kurang dari sejam, keadaan ini boleh mengundang maut akibat daripada mengalami kesukaran bernafas dan lemas.
2. Kadar oksigen dalam darah menurun
Kurangnya oksigen dalam kereta menyebabkan kurangnya juga oksigen yang dihirp individu membawa kepada keadaan penurunan kadar oksigen dalam darah.
Disebabkan kadar karbon monoksida dalam darah meningkat, maka kematian secara mengejut boleh berlaku.
3. Buka tingkap tak menjamin keselamatan
Ramai orang ingat, kononnya kalau tidur dalam kenderaan tapi tak buka aircond dan hanya buka tingkap, risiko lemas tidak akan berlaku.
Tahukah anda, buka tingkap semasa tidur dalam kenderaan sebenarnya tetap tidak menjamin keselamatan pun?
Walaupun tingkap berada dalam keadaan terbuka, karbon monoksida tetap akan terkumpul di dalam kenderaan dan dalam satu jangka masa, seseorang itu tetap boleh mengalami keracunan gas pembunuh senyap tersebut.

Apa yang nak buat kalau masih nak tidur dalam kenderaan?
Jawapannya hanya satu, matikan enjin kenderaan anda dan buka tingkap kenderaan. Kalau matikan enjin tapi tak buka tingkap, nanti tak pasal-pasal terkorban sebab strok haba pula.