
Ini Sebab Kenapa Suntikan Vaksin Dan Dos Penggalak Amat Penting Untuk Golongan Wanita
Umum mengetahui, penyakit merbahaya seperti COVID-19 amat mudah berjangkit tanpa mengenal peringkat umur dan jantina.
Namun, ramai yang tidak sedar sebenarnya terdapat manfaat spesifik suntikan vaksin dan dos penggalak khusus untuk golongan wanita dan kaum ibu.
Oleh yang demikian, golongan wanita sepatutnya menyedari kepentingan ini dan segera mendapatkan vaksin dan dos penggalak demi masa depan keluarga mereka.
Untuk huraian lanjut, jom ikuti penerangan yang dibuat oleh seorang Doktor Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar yang membuat hantaran berikut di Facebooknya bagi berkongsi ilmu mengenai kepentingan vaksin dan dos penggalak ini untuk golongan wanita.
KENAPA VAKSIN DAN BOOSTER PENTING UNTUK WANITA
Tugas sebagai seorang wanita itu berat. Dialah isteri, dialah ibu. Dialah yang menjaga rumah tangga, dan kebanyakan masa dia bekerja membantu keluarga.
Ada manfaat spesifik vaksin dan dos penggalak khusus untuk wanita. Kenapa? Sebab wanitalah yang mengandungkan bayi, wanitalah yang menyusukan anak.
Dan bayi dan anak-anak ini, terdedah kepada jangkitan COVID-19 kerana tiada lagi vaksin untuk mereka.
- Kajian menunjukkan vaksin akan mengurangkan risiko jangkitan. Apabila dos penggalak diambil, perlindungan ini lebih meningkat. Bermakna, wanita yang mengambil vaksin dan dos penggalak akan kurang risiko menjangkiti orang terdekat, termasuk anak kecil mereka di rumah.
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/36299430/
- Vaksin akan menghasilkan antibodi dalam susu badan. Antibodi ini akan dipindahkan kepada bayi yang menyusu dan sekaligus melindungi bayi itu. Begitu juga wanita yang mengandung. Jika ibu mengandung ambil vaksin dan booster, antibodi yang terhasil akan dipindahkan melalui placenta kepada bayi. Maka, 2 dalam 1. Ibu dapat, anak pun dapat.
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/35325550/
- Ada kajian membandingkan antara 3 jenis vaksin, yang mana paling tinggi menghasilkan antibodi dalam susu badan? Pfizer, vaksin yang digunakan sebagai dos penggalak di Malaysia menjadi pemenang.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9029061/
- Ada ibu yang risau keselamatan vaksin waktu mengandung. Jangan bimbang. Ia telah dikaji. Pengambilan vaksin sewaktu mengandung tidak memberikan kesan sama ada kepada kandungan atau ibu itu sendiri. Kesan sampingan yang biasa berlaku sama seperti orang lain; demam, sakit bahu dan sakit sendi. Ia hilang sendiri dalam masa beberapa hari.
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/35108277/
- Masih tak berani nak ambil vaksin sebab mengandung? Tahukah anda, tanpa vaksinasi, ibu mengandung terdedah kepada jangkitan COVID-19 yang serius. Jangkitan ini bukan hanya membahayakan nyawa ibu, tetapi jangkitan COVID-19 juga meningkatkan risiko kelahiran pra-matang, berat badan bayi yang rendah dan juga risiko keguguran.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8931577/
Selepas baca 5 point ni, jelas manfaat dan risiko vaksinasi. Manfaat jauh melebihi risiko. Dan yang paling penting, semua ini fakta yang dibuktikan kajian berhierarki tinggi (meta-analisis dan systematic review).
Semoga ibu-ibu yang membaca post saya ini terbuka hati untuk membuka MySejahtera dan mendaftarkan diri mengambil vaksin dan dos penggalak. Kalau pun tak nak waktu mengandung sebab masih risau, ambillah sejurus selepas anak lahir. Yang penting, ambil.
Dr Amirul Amzar
Pakar Perubatan Keluarga
Medical Mythbusters Malaysia, M3
BACA: Didakwa Vaksin Yang Disuntik Dalam Badan Akan Luput, Doktor Jelaskan Maksud Sebenar ‘Tarikh Luput’
Trending now



