Masjid

Dengan 1,141 Buah Masjid, Negeri Ini Memiliki Jumlah Masjid Terbanyak Di Malaysia!

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wartawan Amree Ahmad dari Utusan Malaysia melaporkan, negeri Sabah merekodkan jumlah masjid baharu yang tertinggi dibuka tahun lalu menjadikannya kekal sebagai negeri paling banyak memiliki masjid di Malaysia.

Menurut perangkaan terkini dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 64 buah masjid baharu yang dibina di Sabah telah menjadikan jumlah keseluruhan masjid di seluruh negeri tersebut pada tahun 2022 meningkat kepada 1,141 buah masjid.

Ini berbeza dengan hanya 1,077 buah masjid direkodkan pada tahun sebelumnya dan hanya 1,072 buah pada tahun 2020.

Bilangan masjid itu membabitkan sebuah masjid bertaraf negeri di Kota Kinabalu, 10 buah masjid kerajaan, 21 buah masjid daerah dan baki 1,109 buah masjid kariah.

Pertambahan besar ini dipercayai ekoran dari trend permintaan tinggi umat Islam bagi ibadah solat fardu berjemaah selain aktiviti-aktiviti dakwah di kalangan komuniti tempatan.

Penduduk Sabah terdiri dari 3.5 juta orang dengan majoriti besarnya ialah seramai 2.3 juta Muslim yang terdiri dari kalangan etnik Bajau diikuti Melayu, Kadazan Dusun, Murut dan Bumiputera lain.

Sementara itu, jika dilihat secara statistik keseluruhan, 322 buah masjid baharu telah berjaya dibina di seluruh Malaysia sepanjang tahun lalu dengan Perak muncul yang kedua tertinggi iaitu 54 buah, diikuti pula dengan Sarawak iaitu sebanyak 39 buah masjid baharu.

Menyusul di belakang ialah Terengganu (30), Johor (28), Pahang (22), Selangor (21), Kelantan (16), Kuala Lumpur (15), Kedah (13), Negeri Sembilan (7), Melaka (6) dan Perlis (5).

Hanya sebuah masjid baharu dibina di Pulau Pinang pada tahun lalu manakala Putrajaya dan Labuan langsung tiada.

Ini menjadikan Malaysia kini mempunyai sebanyak 6,836 buah masjid termasuk 18 masjid bertaraf negeri, 76 masjid kerajaan dan 166 masjid daerah.

Johor kekal di tempat kedua negeri paling banyak masjid iaitu 850 buah, diikuti dengan Perak (706), Pahang (652), Kelantan (600), Kedah (594), Terengganu (514), Selangor (442) dan Sarawak (408).

Negeri Sembilan pula 305 buah, manakala Pulau Pinang (214), Melaka (201), Perlis (106), Kuala Lumpur (84), Labuan (15) dan Putrajaya yang paling sedikit bilangan masjid iaitu 3 buah sahaja.

Data dari JAKIM itu juga menunjukkan terdapat 18,360 buah surau di Malaysia akhir tahun lalu dengan Selangor kekal sebagai negeri terbanyak dengan jumlah keseluruhan 2,170 buah surau.

1 Masjid

BACA: Malaysia Pengeluar Al-Quran Kedua Terbesar Di Dunia

Sumber: Utusan Malaysia