Flat DBKL

Ubah Suai Melampau, 15 Flat DBKL Telah Dikenakan Tindakan Roboh

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 15 kes yang berjaya dilaksanakan tindakan roboh iaitu 4 kes di Parlimen Kepong, 9 di Parlimen Bukit Bintang, 1 kes di Parlimen Batu dan 1 lagi kes di Parlimen Wangsa Maju,” demikian menurut satu kenyataan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilaporkan di portal berita Kosmo! berhubung isu rumah flat DBKL yang diubah suai secara melampau.

Menurut laporan yang ditulis oleh wartawan Alwani Zafirah, DBKL juga telah mengesan 5 flat di bawah pentadbirannya yang didapati sering melakukan pengubahsuaian kediaman keterlaluan serta tidak mengikut peraturan.

Flat-flat tersebut ialah Flat Kos Rendah Kuchai Entrepreneurs Park, Flat Sri Langkawi, Flat Kos Rendah Seksyen 2, Flat Kos Rendah Seksyen 4 dan Pangsapuri Andika, Setapak, Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, DBKL telah mengambil tindakan pengeluaran notis dan surat pemberitahuan di bawah peruntukan undang-undang terhadap pemilik-pemilik kediaman tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.

Isu ubah suai haram kediaman flat kini dilihat semakin berleluasa sejak tahun 2010 yang sering melibatkan pembinaan dinding tambahan di rumah terutama sekali penghuni yang tinggal di unit bahagian tepi dan aras bawah.

Sikap degil penghuni yang membuat pengubahsuaian haram ini telah mengakibatkan kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan serta menghalang laluan awam.

“Ubah suai tambahan yang dilakukan di tingkat bawah telah dibina di atas permukaan longkang sehingga menyusahkan dan menghalang kerja penyelenggaraan di kawasan terbabit.

“Keadaan akan menjadi halangan utama sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran,” tegas pihak DBKL.

Sebanyak 39 notis telah dikeluarkan oleh DBKL merujuk kepada pelbagai kesalahan pengubahsuaian kediaman bagi tempoh 2017 sehingga 2021.

Sebanyak 70 surat pemberitahuan juga telah dikeluarkan oleh Bahagian Teknikal, Pesuruhjaya Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (COB, JPPH) sepanjang 5 tahun setakat 2022.

Angka tersebut juga dilihat meningkat setiap tahun iaitu 5 kes bagi tahun 2016 dan meningkat kepada 16 kes tahun 2017 dan kekal tinggi sehingga 19 kes pada 2020.

Flat DBKL

BACA: Nak ‘Renovate’ Rumah? Ketahui Dulu Apa Yang Boleh Dan Apa Yang Tak Boleh Anda Lakukan

Sumber: Kosmo!