PRU15 Ketum

PRU15: “…Orang Pendang Boleh Jadi Jutawan” – Eksport Daun Ketum Bakal Dibenarkan?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi jangan tanam, tunggu dulu,” demikian ujar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang optimis kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand dapat direalisasikan tidak lama lagi.

Menurutnya, langkah itu yang akan diusahakan oleh kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat Kedah pasti akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

“Insya-Allah, bakal Perdana Menteri kita yang ke-10 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti mengusahakan sesuatu untuk penanam-penanam ketum, kita akan usaha sampai jadi.

“Saya yakin hal ini dipertimbang kerajaan Persekutuan. Kita ini negeri miskin, kalau jual ketum di sini RM30 sekilogram dan kalau seludup jual di Siam (Thailand) jadi RM150, sebab itu kita perlu benarkan eksport ketum ini,” jelasnya lagi ketika berucap pada Siri Jelajah PN di kawasan Parlimen Pendang.

Usaha tersebut sebenarnya sudah hampir menjadi realiti sebelum ini namun tertangguh setelah kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Kalau tidak, semua orang (yang tanam ketum) di Pendang ini sudah jadi jutawan. Kalau tak benarkan ada yang rebus di rumah orang beli sampai jadi hitam kulit (minum), lepas itu kepala pening. Kita tak mahu orang kita ‘rosak’.

“Apabila kita eksport ke sana mereka akan proses jadi ubat, minuman berkhasiat dan pelbagai teknologi lagi ada untuk tujuan kesihatan. Ada juga kes orang seludup daun ketum lari sehingga jatuh gaung dan mati. Kalau dia tak perlu lari mungkin dia hidup sampai sekarang,” tambah Datuk Seri Muhammad Sanusi lagi.

Walau bagaimanapun, lesen untuk mengeksport daun ketum dicadangkan hanya diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu sahaja supaya ianya dapat dikawal.

1 PRU15 Ketum

BACA: Malaysia Ketinggalan Jauh Di Belakang Thailand Walaupun Miliki Ketum Berkualiti Tinggi Dan Terbaik Di Dunia

Sumber: Utusan Malaysia