Manic Bipolar Disorder

Fasa Manic Bipolar Disorder: Sebuah Perkongsian ‘Menakutkan’ Untuk Beri Kesedaran Pada Orang Ramai

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Masyarakat di Malaysia pada hari ini masih lagi kurang mendapat pendedahan yang sewajarnya mengenai penyakit mental.

Masih ramai yang menganggap golongan pesakit mental sekadar ‘buat-buat’, dirasuk dan sebagainya tanpa mengetahui bahawa bantuan serta rawatan segera amatlah diperlukan oleh mereka.

Menyedari hakikat ini, seorang bekas pesakit Bipolar Disorder, Arieffahmi Abd Razak telah membuat perkongsian berikut di Facebooknya mengenai fasa Manic yang dilaluinya satu ketika dahulu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai betapa merbahaya dan seriusnya gejala yang dilalui oleh seorang pesakit mental.

Manic Bipolar Disorder

Manic dalam Bipolar Disorder tu macam mana? Saya asyik cerita pengalaman depressive phase sahaja selama ini. Mari saya kongsikan pengalaman peribadi saya lalui fasa manic pula.

Apa yang saya telah lakukan ketika saya dalam fasa manic 4 tahun lepas. Satu pengalaman luar biasa yang saya doakan anda tidak akan lalui dan saya tidak lalui lagi.

Ya saya ingat. Sebahagian besar. Mungkin banyak lagi yang berlaku tapi saya tak ingat atau saya tak ceritakan.

Lepas baca mesti anda tertanya apa yang saya fikirkan masa itu. Saya tak ada insight waktu itu. Saya delusional. Saya merasakan semua itu normal dan betul. Just another day of life. The usual one. Padahal…..

– Buat statement panas di Facebook sehingga viral satu Malaysia

– Siang malam selama beberapa hari berdebat dengan netizen

– Rancang nak tubuh gerakan rahsia mengubah dunia

– Nasihatkan orang untuk tangguh kahwin dan suruh pergi mengembara di Indonesia

– Bercakap non stop 3-4 jam

– Tidak tidur 3 hari

– Jawab paper exam 3 jam dalam masa sejam. Paper tu lulus

– Balik Malaysia 4 hari

– Back to back meeting sampai lewat malam

– Tibai Penasihat Syariah bank tentang Islamic Banking

– Membuat baiah dengan sahabat-sahabat

– Cubaan terjun dari Uber

– Tarik rambut kawan dari belakang ketika naik motor

– Ketuk pintu rumah orang 3 pagi kata dajjal dah turun

– Terjun dari tingkat 2

– Berjalan kaki 1km tak pakai selipar

– Buang sweater tepi jalan untuk elak di trace oleh satelit CIA

– Ketuk pintu rumah orang tanya ada family tak kat situ

– Bagi burung makan makanan kucing

– Ruqyah pokok 30 minit pada pukul 3 pagi

– Minta pengutip sampah pindahkan Malaysia ke sebelah Egypt

– Lepak dengan sekumpulan pegawai polis Egypt

– Anggap pegawai polis ialah hawariyyun

– Bakar duit kertas depan polis

– Bertapa luar rumah tengah-tengah pagi

– Berjumpa dengan Nabi Khidir

– Larikan diri dari kedai makan sebab rasa ada orang nak racun makanan

– Bergomol dengan kawan-kawan sebab nak larikan diri

– Tahan public transport dan mencerit “ pencuri, pencuri!” refer kepada kawan-kawan yang tengah tarik diri dari naik public transport

– Tengok Mowgli dan relate kepada kisah hidup sendiri

– Mengatakan Tun M ialah mentor ayah saya

– Mufaraqah dari jemaah

– Rasa diri Imam Mahdi sebab nama Muhammad Bin Abdul Razak (Abdullah)

– Tunggu family datang dari Malaysia dan bawa family naik kereta api bawah laut ke Mekah untuk baiah di sana

– Join program ahli kumpulan dakwah X sebab tunggu ketua depa baiah

– Rasa diselamatkan oleh Presiden As Sisi untuk berlindung di satu bangunan rahsia

– Hisap rokok Cleopatra sehari sekotak ketika dalam bangunan rahsia

– Rasa jumpa dengan Nabi Yusuf ketika uzlah

– Merasakan setiap ayat Quran yang dibaca di TV sedang berbicara dengan diri dan bagi next clue

– Menganggap penjaga di bangunan rahsia tersebut sebagai malaikat yang dihantar untuk mendampingi

– Tak nak potong rambut dan shave sebab rasa ada konspirasi untuk bunuh

– Bila ayah suruh potong rambut, dengan rela potong rambut. Mengambil inspirasi dari kisah Ibrahim dan Ismail

– Berkenalan dengan orang kaya bilik sebelah. Jutawan Saudi

– Naik kapal terbang sambil rasa diescort oleh Secret Agent Egypt

– Buat story dan post sosial media yang merapu

– Ambil gambar dengan spender

– Ambil gambar dengan patung bertasbih

– Berzikir beribu kali sehari

– Tak bagi isteri kerja

– Nak bakar hospital

– Ayah baru sampai dari Kedah tapi tak salam terus keluar rumah

– Naik motor tak pakai helmet dari Bangi ke Kajang

– Naik motor pakai seluar pendek sambil dengar earphone dalam hujan lebat

– Berhenti bawah jejantas buka baju buka seluar untuk perah

– Sambung naik motor pakai boxer

– Pergi ziarah nenek moyang Tok Wali di perkuburan

– Turun di Ipoh dari kereta api Perlis – Kajang

– Pergi pusat urut 3 kali sehari

– Bacakan al-Fatihah kepada tukang urut

– Ajak tukang urut masuk Islam

– Pergi kelab malam pakai selipar

– Duduk bersila tengah kelab malam menikmati sambutan manusia ke atas kehadiran Imam Mahdi

– Balik hotel naik kereta strangers

– Bagi sedekah RM50 kepada orang padahal duit ada RM70 je

– Pagi sampai Bangi, tengahari pergi Ipoh balik

– Naik teksi dari KL Sentral ke Ipoh

– Hutang dengan pakcik teksi

– Bayar pakcik teksi dengan duit Egypt

– Isap rokok setiap waktu maghrib tepi pokok pisang

– Bagi jin makan asap

– Jumpa dengan Sultan Melaka dalam wad

– Islamkan seorang Chinese yang mengkaji pelbagai agama

– Imamkan solat muallaf tu

– Baca terjemahan Quran kepada Chinese tersebut

– Menyusun objek untuk berinterasi dengan jin

– Membaca pergerakan objek dan kaitkan dengan maksud di sebalik peredaran

– Bercakap dengan burung

– Buat Live kat Instagram level-level Iqram Dinzly

– Membaca makna di sebalik nombor dan warna

– Memandu dengan menjadikan nombor sebagai panduan

– Percaya Sultan Melaka nak belanja rumah sebijik kat Ipoh

– Percaya Sultan Melaka nak bawa pergi umrah naik private jet

– Sarapan di mamak tanpa duit dan mamak bagi hutang

– Mintak rokok kat abang polis yang sama dua kali

Dan macam-macam lagi yang berlaku.

Begitulah manic episode saya. Saya mengambil masa 3-4 bulan untuk keluar dari fasa itu.

Mental illness is real, guys. Saya berkongsi dengan sedar akan kesannya. Perkongsian ini untuk beri insight dan awareness kepada pembaca agar pesakit di luar sana dapat disantuni dengan pantas.

Siapa yang ada keluarga atau kenalan yang berfikir dan bertindak luar dari kebiasaan, sila bawa mereka mendapatkan bantuan dan rawatan.

Ada yang kata saya kena rasuk waktu tu. Ada yang kata saya gila isim. Ada yang kata saya buat-buat.

Dapatkan rawatan dari doktor pakar yang bertauliah. Jika nak cuba rawatan alternatif pun jangan tinggal rawatan pertama ini.

Jika keluarga dan sahabat-sahabat saya dalam denial state yang lama mungkin saya dah tidak dapat diselamatkan. Berjalan kaki dari Gua Tempurung ke Sungai Golok berkaki ayam sambil ditemani teh o ais ikat tepi free.

Jika keluarga saya hanya bawa saya berjumpa bomoh sahaja mungkin saya tidak lagi mampu menulis dan hidup seperti hari ini.

Dengan sokongan yang kuat dari keluarga dan sahabat-sahabat, mendapatkan rawatan segera, komited dengan ubat-ubatan, terapi yang berkesan dan inisiatif dan motivasi diri, saya kembali stable pada hari ini.

Semoga kita semua diberi kesihatan yang sejahtera luar dan dalam. Jika diuji dengan kesakitan, diberi kekuatan dan kelapangan jiwa.

Ameenn..

Arieffahmi Abd Razak
Bipolar 1 Disorder Survivors
Since 2018

Gambar: Fizikal nampak normal tapi akal dan fikiran sudah tidak. Bakar sampah untuk buat kenduri untuk Jin. Asap rokok untuk seorang dua. Asap ni cukup untuk sekampung 🤣

BACA: Skizofrenia, Penyakit Mental Yang Membuat Seseorang Berhalusinasi

Sumber: Arieffahmi Abd Razak