Superhero Israel MCU

Filem Terbaharu MCU Menampilkan ‘Superhero’ Dari Israel Terima Kecaman Di Seluruh Dunia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Captain America: New World Order – filem terbaharu Marvel Cinematic Universe (MCU) yang diumumkan pada hujung minggu lalu di Ekspo D23 bakal menampilkan penampilan sulung ‘superhero’ dari Israel (bukan negara sebenar) iaitu Sabra.

Watak ‘superhero’ Sabra yang bakal dilakonkan oleh pelakon yang juga berasal dari Israel iaitu Shira Haas tersebut walau bagaimanapun telah menyebabkan berlakunya gelombang kecaman dari netizen di seluruh dunia.

Walaupun istilah “Sabra” sebenarnya merujuk kepada orang Yahudi yang dilahirkan di Israel, beberapa pengguna Twitter dan TikTok didapati telah menyelar pengumuman itu kerana ianya dikatakan sebagai tidak sensitif terhadap mangsa pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada 1982.

Menurut lipatan sejarah, pada 16 September 1982, anggota militia Kristian Lubnan telah memasuki kawasan kejiranan Sabra di Beirut dan kem pelarian Shatila yang berdekatan.

Ketika itu, tentera Israel yang telah menyerang Lubnan tiga bulan sebelumnya dengan sengaja bertindak menyekat pintu keluar dan menerangi kawasan tersebut pada waktu malam dengan suar yang menyebabkan terjadinya pembunuhan beramai-ramai selama 36 jam ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak Islam yang tidak berdosa.

Superhero Israel MCU

Di Twitter, @yumna_patel menulis, “Sabra adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang Yahudi yang dilahirkan di Palestin (betulkan saya jika saya salah). Ia juga merupakan nama kejiranan di Beirut di mana tentera Israel menyelia pembunuhan beribu-ribu pelarian Palestin dalam tragedi pembunuhan Sabra dan Shatila pada 1982.”

“Bolehkah seseorang menjelaskan kepada saya mengapa mereka perlu terus menggunakan nama Sabra? Perkara pertama yang hampir setiap rakyat Palestin ingat apabila kita membaca atau mendengar Sabra ialah pembunuhan beramai-ramai Sabra Shatilla, ia terasa seperti memang disengajakan,” tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Matthew John pula menulis “hero Marvel Israel Sabra mempunyai banyak kuasa, termasuk merobohkan rumah Palestin…”

Watak ‘superhero’ tersebut dicipta oleh penulis Bill Mantlo dan pelukis Sal Buscema mengenai wanita bernama Ruth Bat-Seraph atau Sabra yang mula diperkenalkan pada tahun 1980-an menerusi “Incredible Hulk #250” sebelum membuat penampilan rasminya pada tahun 1981 dalam “Incredible Hulk #256.”

Seorang mutan dengan kekuatan luar biasa dan keupayaan untuk memindahkan tenaganya kepada orang lain, Sabra juga mahir dalam persenjataan dan pertempuran tangan ke tangan dan boleh terbang dengan bantuan jalur pergelangan tangan anti-gravitinya. Dia pernah berjuang dan bergandingan bersama Hulk serta bekerjasama dengan X-Men dan Avengers.

Filem terakhir MCU sebelum ini – Thor: Love and Thunder tidak ditayangkan di Malaysia kerana dikatakan mengandungi elemen-elemen yang tidak sihat.

Mungkinkah Sabra akan menyebabkan Captain America: New World Order turut akan diharamkan di Malaysia kelak?

BACA: Ms Marvel: ‘Superhero’ Muslim Pertama Terima Reaksi Positif Masyarakat Islam Amerika Syarikat

Sumber: Arab News