Penipu Penyamun Integriti

Penipu Dan Penyamun Tetap Disanjung, Budaya ‘Cancel’ Kesalahan Dan Masalah Integriti Semakin Parah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Satu perkongsian di Facebook telah dibuat oleh Aliff Ahmad untuk membawa orang ramai berfikir sejenak mengenai betapa seriusnya kesalahan-kesalahan integriti yang banyak berlaku pada hari ini.

Penipu Penyamun Integriti

Melalui hantarannya yang berjudul ‘Kenapa Jenayah Integriti Tidak Boleh Dikompromi?’ tersebut, dia mempersoalkan kenapa penipuan-penipuan yang dibuat oleh segelintir pemimpin atau digelarkannya sebagai ‘ketua kultus’ ini masih lagi diberikan justification atau fair comment oleh pengikut-pengikutnya.

Pengikut-pengikutnya ini juga akan mendiamkan kesalahan-kesalahan ketua-ketua mereka dan akan menyerongkan pertahanan terhadap mereka kepada beberapa justifikasi seperti berikut:

  1. Walaupun dia penipu. Tapi ilmunya bermanfaat.
  2. Walaupun dia penyamun. Tapi dia dah banyak tolong orang susah.
  3. Walaupun dia scammer. Tapi ramai anak murid dia yang jadi jutawan, bayar zakat dan cukai.

Sambil memberikan satu contoh yang berlaku dalam dunia politik, Aliff menyebut, “Seorang politikus warlord yang menyamun masih boleh diterima oleh kultus partinya dengan alasan warlord itu walaupun menyamun, dia masih tolong rakyat dan share dengan anak-anak buahnya.”

Dia turut memberikan misalan di sebuah pusat tahfiz – “Mudir tahfiz yang pedofelia dan meliwat didiamkan ibu ayah mangsa kerana konon jasa mudir Quran mengajar Quran selama ini sangat besar. Semua itu setelah ibu bapa pelajar lain termasuk ustaz-ustaz lain memberikan nasihat seakan itu. Kata mereka jin yang sampuk mudir itu. Ya, jin disalahkan.”

Budaya ‘Cancel’ Kesalahan

Budaya yang disebut sebagai ‘budaya cancel kesalahan’ ini menurutnya memang berlaku di dalam kultus ajaran sesat yang akan memaafkan, menafikan dan memberi justifikasi sangkaan baik terhadap apa saja yang dilakukan oleh guru mereka.

Menurut Aliff lagi, dalam bidang politik dan dunia bisnes sebelum ini juga terdapat politikus dan ‘sifu bisnes’ yang secara berani dan terang-terangan mengaku sebagai chartered accountant, memiliki PhD, pelbagai gelaran, kelulusan dan penghormatan namun akhirnya ‘terkantoi’ jua.

Walau bagaimanapun, yang menghairankan ialah tindakan mereka yang didapati ‘membeli’ sijil dari universiti ini masih lagi diangkat dan diterima oleh pengikut-pengikut mereka.

“Ada jasa, ada ilmu dan ketua kultus kaya. So kira okey kan? Tak kisahlah penipu atau penyamun?”, sindir Aliff lagi.

Kemunculan Dajal

Dalam hantarannya tersebut, Aliff Ahmad turut membandingkan situasi pada hari ini dengan kemunculan dajal pada satu hari nanti.

“Ibarat dajal nanti datang, ada kultus dajal juga. Kerana jasa dajal yang menghidup tanah yang gersang, menghidupkan mak ayah kita yang sudah meninggal dunia dan memberikan syurga. Itu jasa juga. Dosanya menipu itu kita maafkan. Boleh?”

Tiada Kompromi Dalam Islam

Jelas Aliff lagi, tiada kompromi bagi masalah integriti dalam Islam seperti yang berlaku kepada perawi-perawi hadis palsu yang direkodkan nama mereka sehingga hari ini dengan pelbagai panggilan yang jelek.

Ahli-ahli bidaah juga turut ditulis nama mereka di dalam kitab supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai pada masa akan datang.

“Sebagai contoh, seorang ahli Quran yang soleh bernama Nuh ibn Abi Maryam telah mencipta fadilat membaca surah-surah di dalam al-Quran. Apabila dia ditangkap, katanya dia mencipta fadilat tersebut kerana melihat ramai orang meninggal Quran kerana sibuk dengan fiqh Abu Hanifah dan maghazi Ibn Ishak.

“Tetapi agama Islam tidak boleh terima jenayah integriti. Nuh ibn Abi Maryam dihukum mati dan namanya tercatat sebagai pemalsu hadis sehingga hari ini. Ada yang mengatakan dia telah bertaubat sebelum dihukum mati.”

Penyamun ‘White Collar’

Sekali lagi menerusi hantarannya tersebut Aliff Ahmad menekankan, “Jenayah integriti tidak boleh dikompromi di dalam Islam walaupun niat baik kerana jika kau boleh tipu RM10 hari ini ketika kau menjaga RM100, kau boleh tipu RM100 juta ketika kau jaga RM1 billion.”

Beliau turut menambah, “Segala penyamun white collar menyamun bermula dari kecil, didiamkan kemudian membarah dan membesar.

“Tetapi kultus di Malaysia pula lain, dia tidak taubat, tidak insaf, bahkan masih meneruskan penipuannya. Para pengikut kultus akan mempertahankan ibarat pengikut dajal,” kesal Aliff.

Sumber: Facebook Aliff Ahmad