
Lirik Casablanca: ‘Denyut’ Atau ‘Degup’? Kali Ini Giliran Profesor Pula Untuk Bersuara
Penggiat seni tanah air kini seolah-olah berada dalam ‘ketakutan’ untuk berkarya kerana menyedari hasil seni mereka sentiasa dalam perhatian netizen.
Untuk menghasilkan sebuah filem fiksyen bertemakan sejarah misalnya, pengarah akan dikecam jika penggunaan dialek, kostum atau perwatakan kaum yang ditonjolkan kurang tepat.
Pencipta lagu dan lirik pula turut akan dihentam sekiranya terdapat penggunaan perkataan atau tatabahasa yang salah serta tidak sesuai untuk dijadikan rujukan pelajar sekolah.
Profesor Madya Teknologis Profesional Dr. Ramzah Dambul melalui akaun Facebooknya Rem Dambul telah memberikan perspektifnya yang tersendiri mengenai isu ini melalui hantaran yang dibuatnya berikut:
Kecoh rupanya umat netizen seantero bumiraya baru-baru ini, bercakaran pasal “denyut” atau “degup” — jantung. Natijah daripada provokasi seorang guru BM. Konteks perbahasan dirujuk pada lirik lagu Casablanca.
Apa pendapat Abam tentang ini?
Beginilah achik-achik semua. Lirik lagu dianggap sejenis karya sastera, bukan karya rencana atau ilmiah. Jadi memang dibenarkan guna “lesen puitika” dalam penulisan. Dalam bahasa mudah, lesen puitika ini maksudnya: “Suka hati mak nenek aku bagaimana aku mau berimaginasi dan berinovasi dengan istilah.”
Tidak timbul isu mana padanan yang tepat untuk jantung — sama ada denyut atau degup. Isu ini, secara fundamental, sebenarnya tidak relevan langsung. Kalau penulisnya mau guna jerit, tawa atau tangis jantungku, pun boleh.
Dalam karya kreatif, konotasi sesuatu ayat tidak semestinya literal. Ada banyak ketika ekspresi itu lebih bersifat bayangan, tamsilan, simbolik atau metafora.
Sebab itu kita juga selalu jumpa: pepohon nan menari sambil melambai mesra. Atau, ombak yang mengganas dan ribut yang berteriak nyaring. Hah, yang ini tak ada siapa sudi mau kecoh-kecoh?
Mesti Cikgu Zack sentap: “Erk, sejak bila pula pokok pandai menari dan melambai?” Tapi dalam karya kreatif, itu dibenarkan. Ini dinamakan teknik personafikasi, iaitu memberi tamsilan perilaku manusia kepada alam benda. Jangan saja guna ayat begitu untuk esei klimatologi. Takut nanti Abam terajang kamu sampai ke Lautan Hindi.
Sebab itu pakar bahasa tidak semestinya pakar sastera. Ini dua disiplin berbeza. Guru bahasa totok tidak boleh feeling feeling ada merit mau berkhutbah tentang bahasa dalam konteks sastera. Sebab nuansa dan hukum ahkamnya agak berbeza.
Ini salah satu masalah besar di dunia fana, tempat kita menuai kehidupan. Kita sering disogoh dengan dogma sumbel bahawa bahasa itu sastera, dan sastera itu bahasa. Asal saja kau guru bahasa — kau layak dijulang sebagai juri pantun, puisi dan aktiviti-aktiviti sastera. ROSAK!
Ya, betul. Ada korelasi intim antara kedua-duanya. Tapi kemahiran bahasa dan sastera, tidak semestinya saling inklusif secara automatik, dalam semua kes dan situasi. Ada yang tidak pernah terdidik formal dalam bahasa, tapi boleh jadi sasterawan terulung. Ada yang mantul terhebat dalam bahasa, tapi mau buat pantun empat kerat pun terkial-kial.
BACA: Bikin Panas! Lagu Upin & Ipin Dengan Lirik Yang ‘Merosakkan’ Anak Muda Kini Tular Di TikTok
Sumber: Facebook Rem Dambul
Trending now



