Hantaran Kahwin

Berapakah Nilai Hantaran Kahwin Yang Sesuai Untuk Zaman Sekarang?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Soal hantaran kahwin merupakan satu isu yang sangat sensitif dan boleh menimbulkan salah faham sehingga boleh mencetuskan perbalahan di antara dua keluarga malah juga boleh menyebabkan berlakunya penceraian.

Dalam filem-filem P. Ramlee sejak dari dulu lagi soal hantaran kahwin telah ditonjolkan sebagai salah satu isu besar dalam masyarakat Islam.

Pada hari ini, didapati terdapat ramai yang masih terpaksa bergolok-gadai kerana wujudnya segelintir ibu bapa yang turut mengambil peluang meletakkan ‘harga tinggi’ pada anak mereka.

Agama Islam sebenarnya menuntut agar urusan perkahwinan dipermudahkan. Namun, agak-agak berapakah nilai hantaran kahwin yang sesuai untuk zaman sekarang?

Wartawan eksekutif akhbar Kosmo!, Mohd. Rasdan Ahmad telah mengupas isu ini melalui satu artikelnya yang berjudul – Hantaran Kahwin Jangan Ikut Selera ‘Orang Kayangan’.

Dalam artikelnya tersebut, beliau menyentuh mengenai soal kemampuan yang selalunya diketepikan.

Biasanya, apa yang diutamakan oleh pasangan pengantin adalah agar majlis sekali seumur hidup itu nampak gah dan mewah.

Akibatnya, pengantin terpaksa menanggung hutang sehingga anak Darjah Empat pun pinjaman yang dibuat belum tentu habis dibayar.

Golongan yang suka bermegah-megah ini juga rata-ratanya tidak fikir tentang kehidupan selepas berkahwin yang memerlukan wang yang banyak untuk membina kehidupan baharu.

Kebiasaannya, wang hantaran pula mencecah sehingga RM20,000 dan paling rendah RM10,000 itupun pengantin perempuan yang ada Diploma Bidang Pertanian.

Menurutnya lagi, wang hantaran kahwin sebenarnya merupakan hadiah berbentuk wang tunai yang diberikan oleh pihak bakal suami kepada bakal isteri.

Nilai wang hantaran kahwin pula wajar diterima dengan rela hati oleh kedua-dua belah pihak kerana pemberian ini sebenarnya tidak wajib dan tidak perlu.

Apa yang wajib hanyalah mas kahwin yang perlu disediakan pengantin lelaki bagi memuliakan kaum wanita.

Ini adalah sebagai menandakan kaum lelakilah yang mencari dan berusaha mengeluarkan harta demi pasangan hidupnya.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd, agama Islam menyarankan supaya hantaran mahar oleh pihak pengantin lelaki tidak membebankan sehingga boleh menghalang atau menyukarkan perkahwinan.

“Terkadang pihak pengantin lelaki terpaksa berhutang untuk memenuhi tuntutan mahar yang tinggi oleh keluarga gadis yang ingin dikahwini,” jelasnya kepada Kosmo!

“Menurut hadis Nabi, wanita yang paling diberkati di dalam kehidupan kekeluargaannya ialah yang paling kurang maharnya,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, persoalan mahar ini bergantung kepada kewangan pihak pengantin lelaki dan jika dia dari golongan yang kaya dan mampu, boleh diberikan kepada pihak perempuan mahar yang sesuai dengan kemampuannya.

Mahar yang diberikan itu tidak perlulah sampai membebankan sehingga menyukarkan pernikahan atau menyusahkan pasangan terbabit setelah mendirikan rumah tangga akibat terpaksa menanggung hutang yang banyak.

Adalah penting bagi kedua-dua pihak agar dapat berbincang dengan ikhlas supaya urusan perkahwinan dilaksanakan dengan mudah tanpa membebankan mana-mana pihak.

Hantaran Kahwin

BACA: Lamar Isteri Guna 2 Keping Bitcoin Bernilai Lebih RM450 Ribu Sebagai Hantaran

Sumber: Kosmo!