Jurutera Hafiz Al-Quran

Jurutera Berstatus Hafiz Al-Quran, Bukti Mendalami Ilmu Agama Juga Mampu Ceburi Kerjaya Profesional

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Apabila seseorang itu megikuti pengajiam Islam, terutama tahfiz al-Quran, pasti difikirkan kerjaya mereka menjadi seorang tenaga pengajar seperti ustaz, imam masjid atau pegawai agama.

Maka, ada ibu bapa bimbang dengan pilihan anak untuk menjadi hafiz kerana memikirkan masa depan anak mereka terhad dalam pengajian Islam sahaja.

Sebenarnya, mereka yang mendalami ilmu agama masih boleh memilih kerjaya profesional lain seperti doktor, peguam, jurutera mahupun badan beruniform.

Sejarah membuktikan bahawa ramai tokoh ilmuwan Islam berjaya menerokai pelbagai disiplin ilmu dengan mengimbangi keperluan dunia dan akhirat.

Jurutera syarikat minyak berstatus hafiz al-Quran

Seorang jurutera syarikat pembinaan minyak dan gas luar pesisir antarabangsa membuktikan menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran merupakan satu nilai tambah kepadanya untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.

Wan Najran Wan Mohd Noh, 39, mengikuti kursus persijilan tahfiz di Darul Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2001 dan berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh setahun enam bulan sahaja.

Selepas berjaya menghafaz al-Quran secara fast track, beliau seterusnya lanjutkan pengajian peringkat matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Pembuatan di UIAM dalam tempoh empat tahun.

Wan Najran yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) berkata, pembelajaran tahfiz banyak memberi kelebihan kepadanya dalam mengimbangi keperluan agama dan akademik.

“Terlalu banyak kelebihan apabila menjadi hafiz al-Quran dan dalam masa sama kita belajar pengetahuan akademik.

“Salah satu pembelajaran yang saya dapat kutip ialah ilmu agama ini mendidik jiwa kita menjadi individu amanah, berakhlak dan berbudi pekerti mulia dan terpuji kerana kita belajar dan memahami al-Quran,” katanya.

Di luar kerjaya hakiki, beliau berperanan sebagai imam surau di Saujana Impian Kajang.

Jurutera Hafiz Al-Quran

Dengan ilmu yang diberi ALLAH ini saya mendapat tauliah daripada JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk mengajar tajwid dan al-Quran di masjid dan surau,” katanya.

Beliau yang juga salah seorang bekas ahli kumpulan nasyid Saujana berkata, keseimbangan ilmu akademik dan agama penting bagi melahirkan lebih ramai agamawan yang mempunyai pengetahuan tinggi.

Kisahnya menunjukkan gabungan bidang tahfiz dan profesional bukan satu perkara yang mustahil.

Jadi jika berhasrat mahu hafal Al-Quran tetapi tidak masuk sekolah Tahfiz, ia bukan sebuah pengakhiran. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Sumber: Sinar Harian